Piala AFC: Kelantan buru kemenangan sulung

Piala AFC 2012 | AFC Cup 2012
Piala AFC 2012

Ayeyawady United FC vs Kelantan FA
Stadium YTC Yangoon, 5.00 petang
Piala AFC 21 Mac 2012
Siaran Tertunda TV1, 12.30 mlm

SETELAH mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan menentang Navibank Saigon dari Vietnam pada 7 Mac lalu, Kelantan bakal berhadapan Ayeyawady United FC pada perlawanan kedua kumpulan H, Kejohanan Piala Kofenderasi Bola Sepak Asia.

Pertemuan menarik wakil kelab dari Myanmar menentang juara Liga Super musim lalu itu akan berlangsung di Stadium Pusat Latihan Belia, Yangoon petang ini.

Ayeyawady United FC bukan calang-calang pasukan sebenarnya, apabila mereka turut membuktikan kehebatan dengan mengikat keputusan seri 1-1 ke atas Arema FC dalam perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Gajayana, Indonesia baru-baru ini.

Kelab bimbingan Josef Herel, jurulatih dari Slovakia yang pernah menabur bakti dengan beberapa pasukan dalam kancah Liga Malaysia sebelum ini, bakal mempertaruhkan empat pemain import iaitu Elvis William Nitchonia dari Cameroon, Jupiter Yves Ngangue dan John Karangwa (Nigeria) selain James Mooney dari Liberia dalam perlawanan ini.

Yves Ngangue yang beraksi di posisi penyerang sudah pasti menjadi sandaran utama Herel bagi merobek pintu gol Kelantan. Sementara itu Nitchonia dan Karangwa akan memperkuatkan bahagian tengah tatkala Mooney bakal membentuk persefahaman mantap bersama pemain tempatan di benteng pertahanan.

Bagi The Red Warriors, kemenangan 2-0 ke atas Perak dalam saingan Liga Super pada Sabtu lalu menjadi suntikan moral kepada anak buah Bojan Hodak bagi memburu sekurangkurangnya satu mata daripada pertemuan tersebut.

Ketiadaan beberapa tonggak utama mungkin memberi sedikit kesan, namun itu tidak boleh dijadikan alasan sementelah percaturan taktikal Hodak sendiri semakin menjadi-jadi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Seperti biasa, jurulatih kelahiran Croatia itu dijangka memerah keringat keempat-empat pemain importnya dalam perlawanan ini. Sandaran utama sudah pasti kepada penyerang kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar dan Onyekachi Nwoha yang menampilkan aksi mantap ketika pertemuan dengan Navibank Saigon dua minggu lalu.

Pemain import dari Nigeria, Obinna Nwaneri yang semakin serasi dengan corak permainan The Red Warriors bakal mengetuai benteng pertahanannya bergandingan dengan Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak.

Sementara di posisi tengah, Hodak mungkin pening kepala memikirkan dua lagi posisi yang bakal diisi, tatkala kedudukan Mohd Badhri Radzi dan Mohd Shakir Shaari tampak sukar digugat. Sama ada Indra Putra Mahayuddin, S Chanturu, Mohd Norfarhan Muhammad atau Denny Antwi.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>