KETIKA saingan sebenar untuk mempertahankan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) berbaki kurang tiga minggu, persembahan skuad negara terus menghadirkan kegusaran apabila sekali lagi kecundang kepada Vietnam, malam kelmarin.
Skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu tewas 0-1 hasil jaringan tunggal pemain tengah lawan, Nguyen Trong Hoang pada minit ke-74. Pada aksi di Stadium Shah Alam, 11 September lalu, Harimau Malaya juga tumpas 0-2 kepada lawan sama.
Vietnam kini menjadi pasukan yang sukar untuk ditewaskan buat skuad negara selepas mempamerkan aksi meyakinkan ketika menang ke atas Hong Kong 3-0 pada aksi persahabatan pertengahan bulan lalu tanpa kehadiran sebahagian besar pemain utama.
Namun kali ini kehadiran barisan pemain tempatan terbaik yang diketuai penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali masih belum mampu menghadirkan keputusan yang positif dengan perlawanan itu turut dilihat sebagai peluang untuk membaiki ranking dunia.
“Kami mempunyai beberapa peluang yang seharusnya dilaksanakan dengan mudah namun sebaliknya yang berlaku,” kata pengendali berusia 56 tahun selepas menyaksikan anak-anak buahnya gagal memadam kekalahan menentang pasukan yang sama di Stadium Shah Alam pada 11 September lalu.
Kealpaan barisan pertahanan membawa padah apabila pemain kelab Song Lam Nghe An itu merembat kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat yang masih belum bersedia sepenuhnya selepas penjaga gol utama negara itu gagal menafikan cubaan awal pemain lawan.
Namun bintang Kelantan itu tetap menampilkan persembahan terbaik sepanjang perlawanan apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya anak-anak buah jurulatih Phan Thanh Hung yang jelas bersemangat beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium My Dinh, Hanoi.
“Kami turut berupaya memberikan tekanan kepada barisan pertahanan lawan namun ia tidak mencukupi untuk kami menggegar gawang lawan. Malah turut gagal memanfaatkan peluang selepas mereka mendapatkan jaringan pembukaan,” kata Rajagobal.
Skuad negara akan meneruskan aksi persahabatan menentang gergasi Asia Tenggara, Thailand di Chiang Mai Rabu ini diikuti melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam pada Rabu depan. — Harian Metro
Related posts
- Persahabatan: Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam
- Sandiwara atau waspada?
- Masa makin suntuk buat Rajagobal
- Episod duka Malaysia berulang
- Skuad Rajagobal perlu bangkit
- Malaysia belum temui tonik mujarab kalahkan Vietnam