HARIMAU Malaya terus diconteng arang oleh pasukan Vietnam apabila ditewaskan 0-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium My Dinh, malam ini.

Dengan kekalahan ini, ia bukan sahaja mengagalkan misi anak buah Datuk K.Rajagobal untuk membalas dendam terhadap kekalahan 0-2 pada perlawanan persahabatan pertama September lalu.

Sebaliknya, ia turut memberi petanda buruk menjelang saingan Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung 24 November ini.

Tuan rumah hampir mendapatkan jaringan awal pada babak awal perlawanan menerusi penyerang Vietnam, bagaimanapun, sepakannya tersasar.

Susulan serangan pasukan tuan rumah, pasukan pelawat melakukan serangan balas, namun hantaran Safee Sali ke Norshahrul ditepis ke larian Azamuddin Akil yang melepaskan rembatan kaki kiri yang akhirnya diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam pada minit ke-10.

Vietnam yang mendapat sokongan padu daripada penyokong hampir mendahului lawan menerusi penyerangnya pada minit ke-20, tetapi gagal disudahkan apabila tendangannya tersasar.

Pasukan pelawat bagaimanapun masih tidak berputus asa dan membuat beberapa percubaan bagi mendapatkan gol, meskipun setiap asakan Malaysia terkena tiang.

Pada minit ke-29, hantaran Kunalan kepada Norshahrul diterima dengan baik tetapi asakan pemain Vietnam telah menghalang kemajuan di sayap kiri.

Selepas itu, penyerang Vietnam pula melepasi benteng pertahanan Malaysia dan melepaskan rembatan tetapi gagal membolosi gawang apabila tendangan terlalu tinggi pada minit ke-39.

Memasuki babak kedua, pasukan Vietnam terus melancarkan serangan menerusi Tranh Hung dan menguji Khairul Fahmi tetapi rembatannya diselamatkan dengan senang.

Selepas itu, Malaysia membalas serangan menerusi hantaran Wan Zack kepada Safiq tetapi Safiq gagal kawal bola dan membuatkan peluang terlepas pada minit ke-54.

Cubaan bertubi-tubi pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Vietnam berjaya menjaringkan gol pada minit ke-74.

Berdepan dengan tekanan, Rajagobal dilihat memasukkan Adha menggantikan Safee, namun tidak memberi sebarang kesan kepada Harimau Malaya.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan berdepan Thailand pada 7 November di tempat lawan sebelum bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 November ini. — Sinar Harian




coded by nessus

Leave a Reply