Skuad Negeri Sembilan terima habuan RM500,000

Negeri Sembilan Juara Piala Malaysia 2011

  • Ganjaran muncul Juara Piala Malaysia 2011

SEMUA pemain dan pegawai pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang muncul juara Piala Malaysia 2011 menerima insentif keseluruhan sebanyak RM500,000 daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pemberian insentif itu adalah memadai yang dapat disediakan oleh PBNS sebagai perangsang kepada semua pemain dan pegawai supaya sentiasa melakarkan kejayaan dalam arena bola sepak.

“Sebanyak RM200,000 kami berikan kepada mereka setelah Negeri Sembilan layak ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia dan hari ini sebanyak RM300,000 lagi diberikan kerana berjaya membawa pulang piala keagungan bola sepak negara itu.

“Insentif ini sebagai penyuntik semangat kepada pemain supaya mereka sentiasa menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap perlawanan,” katanya pada majlis jamuan sempena meraikan kejayaan pasukan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia musim ini di Seremban, hari ini.

Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia edisi ke-85 setelah mengalahkan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada 29 Oktober lepas.

Di samping itu, katanya, pasukan Negeri Sembilan juga akan dibawa ke Perth, Australia selepas perlawanan persahabatan dengan Kelantan pada 29 November ini.

“Semasa di sana kita akan mengadakan beberapa perlawanan dengan kelab ternama yang mengambil bahagian dalam Liga Australia,” katanya.

Mohamad berkata, walaupun pasukan Negeri Sembilan terlepas untuk menjuarai Liga Super dan Piala FA musim ini, namun mereka menunjukkan prestasi yang baik untuk menjuarai Piala Malaysia.

Katanya, kejayaan skuad Rusa ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk penaja seperti Lotto dan beliau mengucapkan tahniah kerana menjulang nama Negeri Sembilan.

“Daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sehingga ke rakyat jelata, semuanya merasa bangga dengan kejayaan skuad Rusa ini. Saya berharap kita akan dapat kekalkan Piala Malaysia di negeri ini pada tahun depan.

“Untuk mempertahankan kejuaraan bukan satu perkara yang mudah dan untuk itu, kita akan bentuk sebuah pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan musim depan. Saya berharap kita dapat membuat persiapan dengan lebih tersusun dan baik.

“Pasukan Negeri Sembilan kini mempunyai reputasi sebagai satu pasukan yang disegani. Oleh itu, saya harap semua pemain harus menunjukkan komitmen tinggi dan bermain dengan cemerlang,” katanya. - BERNAMA

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>