Selangor vs Kelantan

Menjelang Piala Malaysia 2011

Selangor vs Kelantan
17 Ogos 2011, 10.00 malam

“MISI balas dendam”. Itu yang bermain di benak fikiran kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah pada aksi persahabatan menentang juara Liga Super 2011, Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Rentetan dikecewakan secara berterusan oleh The Red Warriors pada musim ini amat memeritkan buat Mohd Amri dan rakan sepasukannya di Selangor yang kini memasang tekad untuk memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 yang juga piala tunggal yang masih menjadi rebutan.

“Seboleh-bolehnya saya dan rakan mahu menebus kekecewaan di tangan Kelantan dan kami berjanji kali ini akan menampilkan aksi sebaik mungkin walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan,” katanya semalam.

Tambahnya, aksi menentang Kelantan menjadi medan terbaik menilai tahap dan kemampuan Selangor menjelang sepak mula Piala Malaysia yang bermula pada 6 September ini.

Pertemuan dengan Kelantan adalah aksi persahabatan keempat Selangor selepas mengejutkan Harimau Malaya (1-0), ATM (1-0) dan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Felda United manakala Kelantan membelasah Kuala Lumpur 5-0, Ahad lalu dalam misi mempertahankan Piala Malaysia musim ini.

Keputusan itu membuatkan Mohd Amri mengingatkan rakan sepasukannya agar berwaspada terutama dengan kehadiran dua penyerang Pahang, Azamuddin Akil dan R Surendran yang dipinjam Kelantan untuk saingan Piala Malaysia kali ini.

Mengenai tiga perlawanan persahabatan diharungi Merah Kuning sebelum ini, Mohd Amri berkata, sentuhan penyudah masih menjadi masalah kepada skuad Merah Kuning dan jika tidak diperbaiki menjelang saingan sebenar, usaha mencatatkan kemenangan mungkin sukar.

Selangor berdepan kemungkinan menamatkan musim ini tanpa trofi selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain tersingkir pada separuh akhir Piala FA dengan Kelantan menjadi penghalang.

Harian Metro




coded by nessus

Main topics: Piala Malaysia

Sub topics: , ,


Readers Comments (0)