Kelantan, Selangor sambung ‘persengketaan’
Sathianathan, Devan yakin pasukan bimbingan mampu lepasi halangan di Kota Bharu
HANYA satu perlawanan suku akhir kedua berlangsung malam ini di mana tumpuan peminat bola sepak tempatan sudah pasti terarah kepada pertemuan antara Juara Liga Super, Selangor yang berdepan pasukan tuan rumah, Kelantan.
Selepas aksi pertama di Shah Alam berkesudahan seri tanpa jaringan, perlawanan malam ini dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan tentunya memburu gol awal untuk memberi tekanan ke atas lawan masing-masing.
Kelantan mungkin memiliki sedikit kelebihan selaku tuan rumah di samping sorakan penuh semangat penyokong fanatik mereka, namun tidak mustahil jika ia bertukar tekanan kepada pemain pasukan Kijang yang diberi harapan tinggi untuk memenangi perlawanan berkenaan.
Kedua-dua pengendali pasukan mempunyai keyakinan yang tersendiri mampu membawa pasukan masing-masing ke peringkat separuh akhir.
Selepas berjaya membimbing skuad The Red Warriors ke perlawanan akhir musim lalu, B Sathianathan sekali lagi mahu mengulangi pencapaian bersejarah itu pada saingan kali ini.
“Kelebihan kini berpihak kepada kita. Saya ulangi, tidak mudah bagi Selangor untuk bermain di Kota Bharu kali ini. Mereka akan bermain di sini (Stadium Sultan Muhammed IV) dan bukan di Stadium Shah Alam. Ini gelanggang keramat kita, saya tidak rela Kelantan tumbang dan saya mahu penyokong menjadi saksi tersungkurnya Selangor di Kota Bharu.
“Tidak ada penyokong mereka yang akan datang ke sini. Jadi kita mempunyai kelebihan segala-galanya dari segi sokongan penyokong. Mereka akan menghadapi tekanan bermain di hadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan. Ada kalanya faktor penyokong menjadi penentu kejayaan sesebuah pasukan,” katanya.
Sathianathan berkata, walaupun Kelantan akan turun tanpa Norshahrul Idlan Talaha yang digantung perlawanan, tetapi itu tidak menjejaskan perancangan beliau dalam menentukan kesebelasan terbaik yang membarisi Kelantan malam ini.
“Memang kita kehilangan seorang penyerang yang berkaliber tetapi tidak bermakna kita tidak boleh bermain dengan baik. Tanpa beliau sekali pun, kita yakin mampu memberi tentangan sengit. Kelantan akan turun bermain sebagai satu pasukan dan kita tidak bergantung kepada individu semata-mata.
“Saya yakin mampu membawa Kelantan ke peringkat separuh akhir. Sudah pasti kita mengharapkan satu keputusan yang baik diperoleh malam ini. Anda dapat lihat bagaimana kita mampu mencatatkan keputusan seri di Shah Alam tempoh hari. Bukan semua pasukan mampu memperoleh keputusan seperti itu. Dan Kelantan membuktikan mampu mengikat Selangor dengan keputusan itu,” katanya.
Sathianathan berkata, beliau menagih aksi terbaik daripada beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam perlawanan malam ini.
“Kita perlu lupa dua kekalahan (tewas kepada Kedah dalam saingan Piala FA dan Negeri Sembilan dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia) di tempat sendiri sepanjang musim ini, sebaliknya mereka (pemain) perlu membuktikan kepada semua pihak bahawa kita merupakan sebuah pasukan yang digeruni setiap kali beraksi di Kota Bharu.
Jurulatih Selangor, K Devan pula berpandangan sebaliknya mengenai peluang Selangor untuk menumbangkan Kelantan malam ini.
Bagi Devan, kelebihan memihak kepada Selangor dan tekanan adalah milik Kelantan.
“Secara matematiknya, Selangor tidak berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir kerana kami hanya memerlukan keputusan sekurang-kurangnya seri 1-1. Kemudian, kaedah jaringan di tempat lawan memainkan peranannya. Itulah yang saya katakan bahawa pihak yang tertekan adalah Kelantan.
“Bagaimanapun, pemain saya tidak boleh leka kerana kelebihan kami hanyalah di atas kertas saja dan persembahan mereka itulah yang akan memainkan peranan serta penentu kepada peluang kami untuk layak ke separuh akhir. Kami ada peluang tetapi pemain perlu bijak menggunakan peluang itu,” katanya.
Selangor bertandang ke Kota Bharu untuk mengharungi aksi perlawanan kedua peringkat suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam ini. Pada perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Shah Alam Selasa lalu, kedua-dua pasukan yang dianggap pilihan itu terikat seri tanpa jaringan.
Satu-satunya perkara yang mungkin sedang difikirkan Devan ketika ini ialah faktor mental pemainnya kerana beliau sedar bahawa sorakan penyokong fanatik Kelantan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV mampu ‘meleburkan’ ego mana-mana pasukan sekalipun.
Bagi Devan, kalau pemainnya mampu mengekalkan fokus sepanjang 90 minit permainan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, tidak ada sebab mengapa Selangor yang juga juara Liga Super itu tidak boleh layak ke separuh akhir.
“Saya sudah lama menjadi jurulatih dan sepanjang pengalaman saya, kelebihan daripada segi matematik itu tidak akan berjaya sekiranya tidak disusuli dengan persembahan yang baik di tengah padang. Kelebihan itu hanyalah sekadar pendorong dan pemain perlu mencorakkan aksi sempurna.
“Jika mahu menang, mereka perlu bermain baik dan begitulah sebaliknya. Bagaimanapun, dengan barisan pemain yang saya ada, saya yakin bahawa kami akan melangkah ke separuh akhir. Sepanjang musim ini, pemain saya menunjukkan personaliti yang baik setiap kali bermain di tempat lawan,” katanya.
Musim lalu, Selangor gagal melangkah ke separuh akhir selepas tumbang di tangan Terengganu menerusi penentuan penalti dan Devan mahu memastikan bahawa badi suku akhir itu berjaya dilepasi kali ini.
October 15, 2010 - 7:20 pm
saya yakin bahawa kedua- dua pasukan mempunyai kelebihan dalam segi masing masing dan pasukan selangor juga dapat memberi skor jaringan yang luar biasa