Sarawak sedia ‘ngap’ Tok Gajah
Sambutan hari lahir tiga pemain Sarawak pada bulan ini menyemarakkan lagi semangat Ngap Sayot apabila berazam mahu memberi kejutan untuk penyokong setia ketika menentang Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, malam ini.
Trio Ngap Sayot membabitkan Zambri Morshidi yang beraksi sebagai penyerang, Mohd Hairol Mokhtar (pertahanan) dan Mohammad Shahrol Saperi (tengah) sepakat mahu menceriakan sambutan itu di depan lebih 20,000 penyokong setia sekali gus menamatkan penantian 14 tahun untuk mara ke final.
“Kami turun bukan sekadar buat kami bertiga yang baru menyambut hari jadi, tapi untuk semua penyokong Sarawak. Kami sudah lama menanti saat seperti ini.
“Ulang tahun kali ini amat bermakna sekiranya dapat menundukkan Pahang dan mara ke final. Sokongan penyokong setia akan menjadi penyuntik semangat kami,” kata Zambri, 30.
Hairol, 29, berkata rakan sepasukannya memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk menyekat hasrat Pahang yang mendahului 3-1 pada separuh akhir pertama Sabtu lalu.
“Kami tidak boleh lagi melakukan kesilapan. Kami tidak merasai tekanan beraksi di depan ribuan penonton kerana semangat kami adalah mahu menundukkan Pahang.
“Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada Pahang dan sebagai pemain beraksi di benteng kedua terakhir, saya akan memberi komitmen tinggi untuk memastikan tiada gol membolosi gawang kami,” katanya.
Nada sama disuarakan Mohammad Shahrol, 29, yang menjaringkan gol tunggal ketika menentang Pahang sambil melaungkan amaran rakan sepasukannya memiliki motivasi tinggi kali ini.
“Saya sudah bersedia untuk beraksi walaupun menempuh pelbagai ujian. Kami harus beraksi mati-matian untuk mengatasi defisit lalu dan kelebihan kini berpihak kepada kami.
“Kami mempunyai suara penyokong dan ini sebahagian daripada suntikan untuk semua pemain memberikan sesuatu bukan saja pasukan tapi seluruh rakyat negeri ini.” katanya.
- Harian Metro
Luahan Perasaan