Piala Malaysia: Baddrol belum bersedia terima tawaran pemain pinjaman
Baddrol Bakhtiar
KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran sebagai pemain pinjaman dalam saingan Piala Malaysia yang bermula hujung bulan depan.
Ketika ini Baddrol menegaskan ingin memberi tumpuan penuh kepada skuad Kenari yang akan bermain dalam aksi play-off Liga Super 2013.
Baddrol tekad mahu memberi keutamaan kepada pasukannya terlebih dahulu selagi misi skuad Kenari belum selesai.
“Saya tidak mahu memikirkan perkara ini (pinjaman). Lagipun misi (Liga Super) Kedah belum selesai. Jadi tumpuan saya lebih ke arah itu.
“Sekiranya nasib tidak menyebelahi Hijau Kuning, barulah saya akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang datang,” katanya.
Baru-baru ini, khabar angin mengaitkan Kapten skuad Sukan Sea, Indonesia itu bakal dilamar sebagai pemain pinjaman oleh salah sebuah pasukan dari Pantai Timur.
Baddrol bagaimanapun mengakui tidak tahu mengenai perkara tersebut.
Kedah akan menentang Sabah di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 17 Julai untuk penentuan play-off bagi saingan Liga Super 2013.
Jika berjaya mengatasi Sabah, Kedah perlu mengharungi satu lagi aksi play-off antara pemenang perlawanan Sarawak menentang Pahang.
Jika gagal bermakna Kedah akan bersaing di Liga Perdana pada musim depan.
July 15, 2012 - 8:02 pm
Pasukan Pantai Timur?….emmm Pahang! hehe.. kena pergi Badrol sebab kalau tak pergi nanyi kena gantung heheh