Zaquan Adha tekad pikat Rajagobal

Malaysia XI vs Sabah XI
Perlawanan Persahabatan
24 Februari 2012

PENYERANG Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Zaquan Adha Abd Radzak tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal untuk kembali menyarung jersi negara.

Selepas tersisih lebih setahun kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang berulang sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu berharap kelibatnya sepanjang sesi latihan kali ini mampu memikat hati Rajagobal untuk diturunkan menentang Sabah esok serta perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina, Rabu depan.

“Jurulatih (Rajagobal) mengingatkan saya supaya bersaing dengan pemain lain untuk kembali merebut tempat dalam skuad negara. Saya melihatnya sebagai persaingan yang sihat.

“Saya kini memberikan tumpuan untuk mendapatkan tahap diperlukan apabila beraksi bersama skuad negara kerana ia berbeza apabila beraksi pada peringkat kelab.

“Setakat ini kecergasan saya memang pada tahap terbaik namun penting untuk saya menyarung jersi negara bagi memulihkan tahap keyakinan,” katanya yang kali terakhir beraksi untuk skuad negara ketika menentang kelab Qatar pada 2010.

Ketiadaan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang terlepas aksi bersama skuad negara kali ini kerana kecederaan perlu dimanfaat sepenuhnya sekiranya Rajagobal mahu menggandingkannya bersama Safee Sali di jentera serangan.

“Terpulang kepada jurulatih untuk menentukannya namun saya sedar ada pemain lain yang turut bersaing untuk merebut tempat di jentera serangan seperti Abdul Manaf (Mamat) dan Ahmad Shakir (Ali),” katanya.

Selain beraksi di posisi serangan, bekas pemain Negeri Sembilan itu turut diletakkan sebagai pemain sayap kanan bersama ATM musim ini selain sudah meledak dua gol.

Norshahrul Idlan Talaha tersisih ekoran kecederaan

Jurulatih K Rajagopal tiada pilihan apabila terpaksa mengetepikan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ekoran kecederaan yang dialaminya.

Keputusan tersebut menyaksikan Norshahrul akan terlepas dua aksi persahabatan skuad negara menentang Sabah esok dan Filipina pada 29 Februari ini.

Norshahrul atau Mat Yo mengalami kecederaan lutut semasa beraksi dalam aksi liga tempatan bersama Kelantan minggu lepas.

Kecederaan Norshahrul dilihat akan merencatkan percaturan Rajagobal yang sedang dalam persiapan untuk menghadapi Piala AFF Suzuki hujung tahun ini.

Norshahrul dan Safee Sali merupakan gandingan penyerang yang menjadi nadi utama buat skuad kebangsaan Malaysia semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>