Stadium Nasional Bukit Jalil sudah sedia digunakan
Isu rumput Stadium Nasional Bukit Jalil
Masalah rumput yang dikatakan tidak mencengkam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berjaya diselesaikan dan padang tersebut kini sudah boleh digunakan untuk sebarang penganjuran pertandingan.
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, pihaknya berani memberi jaminan bahawa permukaan padang stadium itu sudah dibaik pulih sepenuhnya selepas perlawanan akhir Piala Malaysia Oktober lalu.
“Sepanjang stadium ditutup selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, kami telah membaik pulih padang tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan. Kami masih menggunakan rumput jenis bermuda yang kami tanam sejak Februari lalu.
“Cuma teknik menanam rumput berkenaan sahaja yang kami ubah. Rumput bermuda ini tumbuh secara menjalar dan apabila kami mengubah teknik kepada potongan rumput secara menegak, rumput kini tumbuh dengan cantik dan tidak lagi menjalar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Isu padang di Stadium Nasional sering menjadi perdebatan peminat bola sepak tempatan ekoran permukaan yang tidak berkualiti, namun Kementerian Belia dan Sukan telah mengambil langkah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih padang berkenaan serta fasiliti stadium.
Menurut Rozabil, sebelum ini Stadium Nasional pernah menggunakan rumput jenis zoysia serta paspalum, namun kedua-dua rumput berkenaan terbukti tidak sesuai digunakan dan akhirnya PSM membuat keputusan menggunakan rumput bermuda setelah mendapatkan nasihat pakar tempatan dan luar negara.
“Stadium Nasional sebenarnya mempunyai banyak masalah antaranya sistem saliran padang yang tidak bagus, struktur stadium yang berbumbung, kedudukan stadium di bawah paras laut dan sistem pengudaraan yang sangat teruk.
“Faktor-faktor tersebut menyebabkan kami gagal memlihara kualiti padang. Namun, masalah itu telah berjaya kami atasi dengan baik sekali dan saya sebenarnya bersyukur perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari telah mendedahkan kelemahan itu.
“Sekarang selepas membaik pulih stadium, PSM telah menetapkan prosedur operasi standard yang boleh diguna pakai untuk tempoh jangka panjang. Bagi membuktikan kata-kata saya ini bahawa padang sudah pulih, saya jemput pihak media mengujinya pada Khamis minggu depan,” ujarnya.
Katanya lagi, pihaknya dinasihatkan menggunakan pasir sewaktu menanam rumput kerana tahap kelembapan yang tinggi di Stadium Nasional, selain faktor hujan dan cahaya yang gagal masuk ke dalam stadium.
Malah, jelas beliau, bagi memastikan kualiti rumput terpelihara, lampu growlight juga dipasang agar rumput mendapat cahaya mencukupi.
Luahan Perasaan