Piala AFF: Safiq belum puas buru gol
PEMAIN tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim semakin bernafsu memburu jaringan buat pasukan negara menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Shah Alam Ahad ini.
Ditambah baru mendapat gelaran Pemain Terbaik Mingguan Asia Tenggara oleh portal Goal.com, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu berikrar untuk memastikan sentuhan magis yang ditunjukkan ketika bertemu Thailand dan Singapura akan diteruskan momentumnya bagi menggempur kubu Vietnam.
“Tiga hari selepas kami berdepan Singapura, saya harap mampu mengekalkan kecergasan ini, tambahan saya baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saya berharap mampu memberikan lebih daripada apa yang ditunjukkan sebelum ini.
“Saya memerlukan motivasi untuk terus mempamerkan apa yang saya tunjukkan setakat ini, saya belum puas lagi dengan apa yang diberikan…kalau boleh saya mahu mendapatkan jaringan lagi,” katanya ketika ditemui semalam.
Safiq membuat gerakan solo untuk membantu Harimau Malaya mendahului 2-1 ketika menentang Thailand di peringkat Kumpulan B di Singapura.
Walaupun Malaysia akhirnya tewas 3-2, namun jaringan Safiq itu dianggap yang terbaik dalam kempen Piala AFF edisi ke-10 setakat ini apabila dia memperdayakan tiga pertahanan lawan sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol Kawin Thammasatchanan.
Pemain tengah berusia 28 tahun itu yang disebut-sebut bakal menggalas tugas selaku ketua pasukan Harimau Malaya selepas penggantungan Shukor Adan telah menjaringkan dua gol setakat ini.
Sementara itu, penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, berharap mereka telah belajar daripada apa yang berlaku pada perlawanan persahabatan dengan Vietnam 16 November lepas.
“Kita mungkin boleh memenangi perlawanan itu lebih awal jika memanfaatkan banyak peluang di separuh masa pertama dan mendahului dengan kelebihan dua ke tiga jaringan,” katanya.
“Jika mendapat peluang, kami tidak boleh sia-siakan supaya boleh mendapatkan kemenangan lebih awal dan membunuh semangat lawan untuk bangkit,” katanya.
Luahan Perasaan