Pemain Harimau Malaya perlu jaga disiplin
“Jauhi perkara negatif, fokus dan tingkatkan prestasi”
Demikian harapan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada pasukan Harimau Malaya yang bakal berdepan Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Ahad ini.
Tengku Abdullah bertitah, pemain harus berdisiplin di dalam dan luar padang untuk membolehkan mereka lebih bersedia dalam setiap perlawanan.
“Saya dimaklumkan saudara Safee Sali merokoklah, inilah. Saya ingat janganlah merokok, kalau mahu kekal cergas mesti jaga kesihatan, tidur awal, berfikiran positif, makan yang baik, inilah faktor-faktor untuk jadi juara.
“Saya mengharap, menyarankan kepada pasukan bawah kelolaan Dollah Salleh supaya kekal fokus, tingkatkan prestasi di dalam dan luar padang dan jangan buat perkara-perkara negatif.
“Kalau ini dapat diberi tumpuan saya yakin mereka akan berjaya,” titah baginda.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Penyerang negara, Safee menerima kritikan hebat sebelum ini apabila gambarnya menghisap rokok menjadi viral di laman sosial menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B menentang tuan rumah Singapura.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin kemudian memberitahu pihak media bahawa pemain itu sudah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya, namun sekiranya dia ditangkap melakukan perkara tersebut sekali lagi tindakan tatatertib akan dikenakan.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah menegaskan bahawa kejayaan mara ke peringkat separuh akhir merupakan satu permulaan dalam kempen kali ini dan sasaran pihaknya adalah untuk mara ke final.
“Perjuangan hanya bermula di peringkat separuh akhir, katalah pasukan Dollah tidak sampai ke peringkat ini, itu merupakan satu kegagalan kerana dia tahu saya punya sasaran masuk ke final dahulu.
“Kita tengok rekod sejak tahun 2008, kita memang sukar apabila menentang Vietnam tapi mungkin tahun ini memihak kepada kita, mesti ada keyakinan dan saya harap mereka (Harimau Malaya) dapat bangkit,” titah baginda.
Luahan Perasaan