Ong Kim Swee kecewa sikap Mat Yo

Harimau Malaya 2014

Karier bola sepak Norshahrul Idlan Talaha bersama Harimau Malaya mungkin sudah menemui titik noktah. Setidak-tidaknya, selagi Datuk Ong Kim Swee melatih pasukan itu.

Ini kerana Kim Swee tidak berpuas hati dengan cara penyerang Johor Darul Ta’zim itu menolak panggilan untuk menyertai latihan skuad kebangsaan yang bermula Rabu lalu, selain jurulatih sementara itu tidak diberitahu alasan sebenar.

Kim Swee jelas begitu terasa hati dengan sikap pemain berasal dari Besut, Terengganu itu sehinggakan beliau seperti sudah berpatah arang dengan sikap bekas pemain Kelantan itu yang menurutnya seperti tidak berminat menyarung jersi keramat negara.

Tegas Kim Swee, berkemungkinan besar beliau tidak akan lagi memanggil pemain yang dipanggil Mat Yo itu selagi masih bergelar jurulatih bersama skuad Harimau Malaya selepas apa yang terjadi.

“Bagi saya cukup mudah, mana-mana pemain yang tidak menyertai latihan selepas dipanggil, maknanya mereka tidak berminat untuk menyarung jersi negara berdasarkan alasan-alasan yang diberikan.

“Sama ada dia akan dikenakan tindakan tatatertib atau tidak, saya serahkan kepada budi bicara pihak pengurusan untuk tentukan, saya tidak mahu sentuh. Sama ada saya tidak lagi memanggilnya pada masa akan datang, ada kemungkinan besar saya berbuat demikian.

“Apa jua alasan, keutamaan negara perlu melebihi segala-galanya, tetapi ketiadaan Mat Yo bukan menjadi satu masalah besar cuma saya mahu nasihatkan kepada pemain lain, mereka perlu menyemai sikap positif bila mengetahui nama mereka terpilih ke dalam pasukan kebangsaan,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Difahamkan, Mat Yo telah menemui Kim Swee dan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal pada Khamis lalu dengan menyatakan alasan, yang kini masih misteri, selain mahu mengerjakan umrah pada 3 Mac ini.

Latihan hari ketiga skuad kebangsaan semalam berlangsung dalam keadaan ceria tetapi pemain Pahang, Azamuddin Mohd. Akil belum dapat menyertai latihan kerana masih mengalami kecederaan kaki kanan.

Ketiadaan Mat Yo tidak memaksa Kim Swee melakukan rombakan besar-besaran di bahagian serangan sebaliknya pengendali berusia 43 tahun itu akan mencuba beberapa kombinasi baharu yang akan digunakan ketika menentang Filipina dalam aksi persahabatan, 1 Mac ini di Stadium Selayang.

Perlawanan itu merupakan ujian terakhir yang akan digunakan Kim Swee untuk menilai 22 pemain yang akan diberi kepercayaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen di Abu Dhabi, Amiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 5 Mac nanti.

“Ketiadaan Mat Yo akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain seperti Bobby Gonzales untuk bergandingan dengan pemain seperti Safee Sali, Baddrol Bakhtiar atau Fakri Saarani, yang saya akan uji dalam perlawanan 1 Mac nanti.

“Jika mereka mahu berada dalam kesebelasan utama atau menyertai senarai akhir yang akan ke UAE, semua pemain perlu beri yang terbaik ketika menentang Filipina, tiada jalan lain.

“Begitu juga dengan barisan tengah. Saya akan mencuba kombinasi berbeza keranan mempunyai ramai pemain berkaliber seperti Junior Eldstal, Piya (Badhri Radhzi), Safiq Rahim, Shakir Shaari, Nazmi Faiz malahan Baddrol juga boleh beraksi di posisi itu. Buat masa ini saya tiada perancangan membawa pemain lain,” katanya.

2 Responses to Ong Kim Swee kecewa sikap Mat Yo

  1. Oks br tau ke matyo x professional? Kalau di kelantan matyo ni jadi bahan gelak je skrg.

  2. team HMalaya 2014 kalau ada mat yo sekalipun…skuad kebangsaan masih kekurangan striker…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>