Peluang bergelar juara liga masih terbuka: Mat Zan
Negeri Sembilan vs Terengganu - Liga Super 2012
NADA penuh yakin dilontarkan pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris mengenai peluang pasukan dari Pantai Timur itu dalam misi mendakap trofi Liga Super musim ini.
Menurut Mat Zan, dengan saingan liga masih berbaki 12 perlawanan, pintu luas sebenarnya masih terbuka buat anak-anak buahnya untuk merealisasikan impian seluruh rakyat Terengganu bagi menjulang trofi berprestij itu buat pertama kali dalam sejarah.
Kelmarin, skuad Penyu sekadar memperoleh satu mata hasil kunjungan ke Paroi selepas diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Terengganu masih kekal di tangga ketiga liga, namun dipisah dengan jurang mata yang agak besar berbanding dua pasukan teratas - Lions XII dan Kelantan.
Video Negeri Sembilan vs Terengganu [1-1]
Terengganu dan Kelantan yang beraksi 14 perlawanan kini masing-masing mengumpul 25 dan 31 mata, sementara Lions XII mengumpul 36 mata daripada 17 perlawanan.
“Saya rasa kami tidak perlu risau dengan kedudukan semasa ini kerana saingan liga masih berbaki 12 perlawanan dengan jumlah maksimum mata yang ada adalah 36.
“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah memberi fokus kepada setiap perlawanan dengan matlamat untuk meraih sebanyak mungkin mata sehingga ke akhir musim,” kata Mat Zan.
Justeru, Mat Zan tidak mahu terlalu panik dengan kedudukan ketiga yang dihuni pasukannya, sebaliknya berasakan ia adalah satu pencapaian yang perlu dibanggakan anak-anak buahnya.
“Bagi kami sendiri, ini adalah masa terbaik untuk memperbaiki segala kekurangan pasukan yang kembali bangkit untuk mengejar kedudukan Kelantan dan Lions XII,” ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan di Paroi kelmarin, Mat Zan mengakui, pasukannya sedikit bernasib baik apabila mampu membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan.
“Kalau diikutkan kepada permainan, Negeri Sembilan sepatutnya memenangi perlawanan itu, namun sepakan percuma pemain importnya pada penghujung perlawanan tidak mendatangkan hasil.
“Jadi, saya perlu memberi kredit kepada semua pemain yang telah bekerja keras dan memperoleh jaringan awal bagi memastikan kami tidak pulang kosong,” katanya.
Jelas Mat Zan lagi, sasaran Terengganu kini adalah untuk memberi fokus kepada kempen separuh akhir Piala FA menentang Sime Darby pada 21 April ini.
“Buat masa ini ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan kecil termasuklah Ashaari Shamsuddin dan Manaf Mamat. Saya harap mereka dapat cepat sembuh menjelang aksi Piala FA nanti,” tambahnya. — Kosmo
Luahan Perasaan