Malaysia vs Vietnam jam 8 malam [Piala AFF 2014]
Separuh Akhir Piala AFF Suzuki 2014
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memutuskan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dengan Vietnam di Stadium Shah Alam Ahad ini bermula pada pukul 8 malam.
Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, waktu itu ditetapkan kerana perlawanan tersebut berstatus antarabangsa dan perjanjian juga telah dibuat oleh pihak penganjur dengan pemilik hak penyiaran luar negara.
“Masa perlawanan telah ditetapkan dari awal dengan pihak televisyen luar negara yang mana mereka telah menempah waktu itu.
“Sebelum sepak mula lagi masa tersebut telah pun dipersetujui oleh semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, badan induk itu akan mengadakan mesyuarat dengan pihak polis esok berkaitan urusan keselamatan sepanjang perlawanan tersebut.
“Setakat ini kami sasarkan sebanyak 1,000 anggota polis untuk mengawal keadaan. Bagaimanapun, memandangkan kapasiti Stadium Shah Alam sebanyak 70,000 orang, maka kami akan pertingkatkan. Kami akan bermesyuarat bersama mereka (pihak polis) Khamis ini.
“Kali ini, pihak keselamatan akan membuat dua lapis pemeriksaan ke atas penyokong yang hadir dan saya harap tiada barangan terlarang dibawa masuk ke dalam stadium. Pintu stadium akan dibuka seawal pukul 5.30 petang pada hari perlawanan,” katanya.
Sementara itu, katanya, pasukan Vietnam akan tiba di Kuala Lumpur hari ini dan akan memulakan sesi latihan pada hari berikutnya, sama ada di Wisma FAM atau padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Mereka (Vietnam) juga akan berlatih di padang Stadium Shah Alam pada Sabtu ini. Harimau Malaya sudah memulakan latihan di sana hari ini (semalam),” tambahnya.
Luahan Perasaan