Malaysia vs Korea Selatan LIVE Astro Arena [Kelayakan Piala AFC B22]

Kelayakan AFC Cup 2013 Bawah 22

Malaysia vs Korea Selatan (B22)
Kelayakan Piala AFC 2013 B22
Thuwunna Youth Training Center Stadium
Yangon, Myammar, 23 Jun 2012
LIVE Astro Arena 4.30 ptg

ATAS kertas, perbezaan antara skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dan Korea Selatan barangkali boleh diibaratkan seperti langit dan bumi.

Namun, ia sedikit pun tidak menghadirkan rasa gentar pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi pembukaan Kumpulan G kelayakan Piala AFC B-22 di Stadium Thuwunna (Pusat Latihan Belia) Yangon, Myanmar petang ini.

Meskipun dilihat sedikit tempang tanpa kehadiran dua tonggak negara, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd. Fadhli Mohd. Shas yang terpaksa diketepikan gara-gara digantung perlawanan, Kim Swee kekal optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya melakar kejutan.

Sedangkan Sepanyol juga sekadar seri dengan Itali pada aksi pembuka tirai Euro 2012, Kim Swee melihat aksi petang ini memberikan peluang sama rata kepada kedua-dua pasukan.

“Secara realistik, kredibiliti Korea Selatan sememangnya tidak boleh dipertikai. Jadi, sasaran kita sudah tentu untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

“Cuma, ia pasti lebih bermakna jika kita berjaya melakar kejutan, sekali gus mengurangkan tekanan dalam perlawanan-perlawanan lain,” kata Kim Swee.

Petang ini, ‘arkitek’ berbakat negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor dijangka mengemudi jentera tengah Harimau Muda bersama kapten, Mohd. Irfan Fazail, manakala Ahmad Hazwan Bakri dan Thamil Arasu dijangka menggalas tugas menggempur kubu Korea Selatan.

Namun, ia pastinya bukan satu tugas mudah buat skuad muda negara memandangkan Korea Selatan yang dikendalikan Kim Tae Young juga dijangka mempertaruhkan skuad terbaik, termasuk penyerang, Ji Dong-Won yang kini beraksi dengan kelab England, Sunderland.

Kim Swee memberitahu, terdapat sedikit rombakan dalam benteng pertahanan ketika menentang Korea Selatan nanti ekoran ketiadaan Mohd. Fadhli.

“Saya mungkin menggandingkan Syahrul Saad bersama Fandi Othman ataupun Mohammad Amer Saidin, manakala posisi asal Fandi di bek kiri mungkin diisi oleh Nazirul Naim Che Hashim,” katanya.

Selepas Korea Selatan, Harimau Muda bakal berdepan Filipina, Isnin ini sebelum melayan cabaran Taiwan tiga hari kemudian.

Mereka kemudiannya menentang Vietnam (30 Jun) sebelum aksi terakhir berdepan pasukan tuan rumah, Myanmar pada 3 Julai.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung tahun depan. Turut layak ialah pasukan ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan peringkat kelayakan.

Dalam pada itu, penjaga gol muda negara, Mohd. Izham Tarmizi Roslan bersedia memikul tanggungjawab besar buat kali pertama menggantikan Khairul Fahmi Che Mat yang tidak turut serta ke Myanmar kali ini kerana melebihi usia.

“Ini peluang saya membuktikan sesuatu, tambahan pula pengalaman beraksi dalam saingan Liga Singapura pastinya akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya juga yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan bagi menjamin slot layak ke pusingan akhir,” katanya. — Kosmo

Related Posts

2 Responses to Malaysia vs Korea Selatan LIVE Astro Arena [Kelayakan Piala AFC B22]

  1. saya yakin malaysia dpt menewaskan korea selatan 1-0…jika menunjukan semangat perjuangan yg tinggi.

  2. main dengan budak kolej pun kalah…alahai…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>