Keputusan Final Piala AFF Suzuki 2014 [Malaysia vs Thailand]
Thailand Juara Piala AFF Suzuki 2014
- FINAL 2: Malaysia 3-2 Thailand
- FINAL 1: Thailand 2-0 Malaysia
- FINAL 1: Thailand menang agregat 4-3
PENAMAT yang cukup memedihkan selepas impian Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan Piala AFF 2014 lebur apabila tewas dengan agregat 3-4, meskipun hampir mencipta kebangkitan dengan kemenangan 3-2, pada aksi timbal balik final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Ternyata anak buah Dollah Salleh tidak mampu membendung kemaraan Thailand yang menyumbat dua gol pada 10 minit terakhir selepas mereka selesa mendahului 3-0, dalam tempoh hampir sejam permainan.
Kemenangan 3-2 itu belum cukup buat Malaysia mengulangi detik gemilang 2010 selepas mereka tumpas 0-2 pada final pertama di Bangkok Rabu lalu.
Berbekalkan sorakan padu 90,000 penyokong, Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama apabila pengadil dari Iran Faghani Alireza menghadiahkan sepakan penalti selepas penyerang Norshahrul Idlan Talaha dikasari pertahanan lawan.
Pemain tengah Safiq Rahim seperti biasa tidak berdepan masalah untuk menyudahkan sepakan penalti itu buat pasukan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-5.
Dollah yang hanya membuat satu pertukaran memasukkan pemain pertahanan tinggi lampai Mohd Afif Amiruddin menggantikan Mohd Fadhli Shas yang demam pada saat akhir lebih banyak mendominasi permainan manakala barisan pemain muda Thailand tampak kaku dalam sorakan penyokong Malaysia.
Biarpun bergelut dengan permukaan padang yang teruk, skuad kendalian Kiatisuk Senamuang itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-10 selepas sepakan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias ditampan Adisak Kraisorn namun mujurlah bola sekadar melintas di depan gawang.
Dollah terpaksa mengeluarkan Azamuddin Akil dua minit selepas itu akibat kecederaan dan digantikan dengan penyerang Mohd Safee Sali.
Selepas puas mencuba akhirnya gol kedua buat mengikat agregat 2-2, berjaya dihasilkan apabila bola hantaran lintang Norshahrul disambar Indra Putra Mahayuddin yang menanduk menewaskan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan di penghujung babak pertama.
Semangat anak buah Dollah terus membara pada babak kedua apabila mereka meraih gol ketiga pada minit ke-58 menerusi sepakan percuma menarik Safiq yang menerjah ke gawang.
Ia Jaringan keenam peribadi pemain Johor Darul Ta’zim itu untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan mengatasi pencabar terdekat Le Cong Vinh dari Vietnam dengan empat gol.
Bagaimanapun, Thailand juara tiga kali pada 1996, 2000, 2002 bangkit dengan ledakan dua gol pantas pada minit ke-81 dan 87 menerusi perubaan Charyl Chappius dan Chanathip Songkrasin untuk melenyapkan impian Malaysia.
Ia kekecewaan kedua skuad kebangsaan di tangan Thailand selepas kecundang 0-1, pada 1996 menerusi jaringan tunggal Kiatisuk yang ketika itu bergelar pemain.
MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias; Pertahanan, S Kunanlan, Shukor Adan (C), Mohd Afif Amiruddin, Zubir Azmi; Mohd Amri Yahyah, Safiq Rahim, Mohd Badhri Radzi, Azammuddin Mohd Akil; Indra Putra Mahayuddin (Gary Steven Robbat), Norshahrul Idlan
THAILAND: Kawin Thamsatchanan (C); Perapat Notechaiya, Suttinun Phukom, Tanaboon Kesarat, Narubadin Weerawatnodom; Kroekrit Thawikan, Sarach Yooyen, Charyl Chappuis, Prakit Deeprom; Chanatip Songkrasin; Adisak Kraisorn
Luahan Perasaan