Kejayaan AFF 2010 bakar semangat Safee Sali
Penyerang sensasi negara, Safee Sali mahu menjadikan kejayaan skuad negara ke atas Vietnam dalam saingan separuh akhir Piala AFF 2010 sebagai inspirasi bagi membantu skuad negara mencipta kemenangan apabila mereka mengulangi pertemuan empat tahun lalu pada Ahad ini.
Safee ketika itu menjadi watak utama dengan menjaringkan dua gol ketika separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam pertemuan kedua di Vietnam, sekali gus membolehkan Malaysia ke pentas akhir.
Malaysia akhirnya muncul juara setelah menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir.
Katanya, kejayaan empat tahun lalu akan dijadikan sebagai inspirasi bagi dirinya untuk terus meningkatkan prestasi terutamanya dari aspek kecergasan bagi membolehkannya beraksi 90 minit.
“Tahun 2010 merupakan satu kenangan dan 2014 adalah sebuah perjalanan baharu. Saya akan cuba membantu pasukan untuk mencari kemenangan di tempat sendiri bagi membolehkan kami membawa bekalan selesa (untuk pertemuan kedua di Hanoi).
“Kemenangan ke atas Singapura tempoh hari di tempat lawan secara tidak langsung telah meningkatkan motivasi kami secara keseluruhan dan saya berharap keadaan ini akan terus meningkat,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Shah Alam di sini semalam.
Skuad kendalian Dollah Salleh akan melayan kunjungan juara Kumpulan A Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Ahad ini di Stadium Shah Alam sebelum berkunjung ke gelanggang lawan pada 11 Disember.
Mengulas mengenai teguran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang insiden merokok di Singapura, Safee menerimanya dengan hati terbuka selain mengakui perkara tersebut adalah kesilapannya sendiri.
Pada masa sama, Safee menyifatkan tindakan menyiarkan gambar dia sedang merokok di tempat awam itu merupakan suatu provokasi penyokong Singapura dan tiada apa yang boleh dilakukannya bagi menghalang tindakan itu.
“Perkara itu sudah berlalu dan perkara itu tidak mengganggu persembahan saya, buktinya saya berjaya menjaringkan gol pada perlawanan terakhir kumpulan dan bantu Malaysia menang.
“Selepas ini kita semua perlu lebih berhati-hati dengan tindakan provokasi seperti itu kerana penyokong pihak lawan akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kita,” katanya.
Sebelum ini, gambar Safee sedang merokok di tempat umum di Singapura tersebar di laman sosial sehingga mencetus reaksi negatif dalam kalangan peminat.
Sementara itu kapten Harimau Malaya, Shukor Adan berharap insiden yang menimpa Safee dijadikan sebagai pengajaran agar perkara seperti itu tidak berlaku pada masa akan datang.
Katanya, para pemain termasuk dirinya perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang terutamanya dengan orang luar yang sentiasa akan mencari peluang untuk menjatuhkan pasukan kebangsaan.
“Mungkin ada silap kami juga, saya juga ada di dalam gambar itu. Benda nak jadi dan kami tidak boleh nak mengelak, harap kita semua akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.
Bagaimanapun, dia turut menzahirkan rasa kagum terhadap Safee yang berjaya mengatasi perkara itu dengan baik, malah beraksi di dalam padang tanpa fokusnya tergangggu.
Luahan Perasaan