Kalau berani jadilah pengadil
BERCAKAP mengenai bola sepak, pasti kita tidak terlepas daripada menyentuh soal pengadil - individu paling penting dalam setiap perlawanan.
Suka atau tidak, pengadil itulah juga yang akan menentukan setiap keputusan dan sudah pastinya, apa saja yang diputuskan olehnya tidak akan disenangi segelintir pihak tidak kira pemain, pegawai pasukan hatta penyokong.
Pengadil - sekali pandang tugasnya kelihatan mudah kerana hanya perlu meniup wisel dan memberikan sepakan percuma, penalti mahupun apa saja keputusan lain tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar faham dan mengerti betapa sukarnya untuk menyarung seragam selaku individu yang tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa mereka adalah orang paling penting dalam menentukan hala tuju perlawanan.
Selaku orang tengah yang tidak memihak kepada pasukan sedang bertanding, pengadil juga perlu membuat keputusan secara segera berdasarkan logik semasa kerana mereka tidak seperti kita yang berpeluang melihat ulang tayang semua insiden yang berlaku di atas padang.
Bukan mudah bagi seseorang pengadil itu untuk menjalankan tugasnya dan ia belum lagi dikira dengan berapa banyak kata-kata penghinaan, maki-hamun serta pelbagai ejekan yang harus ditelan setiap pengadil.
Sebagai pegawai di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya amat mengharapkan semua perlawanan berlangsung dengan semangat kesukanan tetapi sejak kebelakangan ini, apa yang kami lihat ialah pengadil pasti dijadikan ‘kambing hitam’ oleh sesetengah jurulatih apabila pasukan mereka tewas.
“Pengadil salah membuat keputusan, pengadil itu dan pengadil ini.” Semuanya salah pengadil tetapi berapa ramaikah di antara kita yang berani menyahut cabaran bergelar seorang pengadil bola sepak?
Kata pepatah, ‘menyalahkan orang lain adalah lebih mudah berbanding menyalahkan diri sendiri’ dan itulah yang berlaku di pentas bola sepak kita sekarang kerana setiap kali pasukan yang kita sayang itu kalah, maka kita lebih senang menyalahkan orang lain di atas kekurangan itu.
Paling mudah, salahkan saja pengadil kerana mereka amat jarang dapat membalas balik setiap tuduhan tetapi cuba tanyakan pada diri sendiri, mampukah kita memikul tugas seperti yang sedang mereka lakukan?
Pengadil juga manusia biasa dan kami di FAM tidak menolak kemungkinan ada di antara keputusan pengadil tidak begitu tepat tetapi sebagai badan induk kebangsaan, kami mohon supaya semua pihak menerima keputusan dengan hati terbuka.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa masalah kekurangan pengadil bertaraf kebangsaan serta FIFA kini semakin meruncing lantaran kerjaya itu tidak lagi berupaya menarik perhatian awam kerana masing-masing tidak lagi sanggup menadah telinga mendengar maki-hamun penyokong.
Itu belum lagi dikira jumlah keselamatan pengadil yang diancam pihak tidak bertanggungjawab hanya kerana pasukan kesayangan mereka tidak menang.
Justeru, saya mempelawa mana-mana individu yang merasakan mereka mampu bergelar pengadil bola sepak supaya tampil untuk sama-sama bergelumang dengan dunia bola sepak Malaysia dan secara kebetulan, peluang untuk menjadi pengadil ketika ini terbuka luas.
Syaratnya juga mudah iaitu mereka yang berminat perlu berusia di bawah 25 tahun. Mengapa 25 tahun? Jawapannya cukup mudah kerana pada usia sebegitu, potensi mereka untuk pergi lebih jauh termasuk bergelar pengadil FIFA adalah lebih tinggi.
Berani?
Oleh Datuk Hamidin Mohd Amin
Setiausaha Agung FAM
hmetro.com.my
Luahan Perasaan