Isu Liga Super Indonesia: FAM tunggu pengesahan FIFA
FAM harap karier Safee Sali tak terjejas
NASIB penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali di Pelita Jaya masih belum disahkan meskipun pelbagai spekulasi mendakwa Liga Super Indonesia (ISL) telah diharamkan oleh badan induk bola sepak dunia FIFA.
Enggan semua pihak terus membuat stigma tidak benar, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pihaknya masih menunggu maklumat sebenar daripada pihak terlibat termasuk FIFA mengenai status terkini ISL.
“FAM masih lagi menunggu cerita sebenar dan pihak pengurusan Safee akan buat pengumuman Isnin ini.
“Jangan buat sebarang anggapan kerana kita masih belum mendapat pengesahan dari FIFA sendiri,” katanya.
“Saya pun tidak berani beranggapan atau buat spekulasi tetapi kita harap karier Safee tidak terjejas dan berharap pihak ISL dapat selesaikan hal ini dengan segera,” katanya.
Mengulas ketegasan FAM yang enggan menerima rayuan daripada persatuan bola sepak negeri untuk mendaftar pemain import selepas tarikh pendaftaran tamat pula, Tengku Abdullah berkata, keputusan itu sukar diubah kerana ia telah dipersetujui semua persatuan bola sepak negeri sebelum ini.
“Saya dimaklumkan oleh setiausaha, rayuan mungkin tidak dapat diterima sebab kita sudah buat kata putus, ini semua dipersetujui oleh persatuan.
“Kalau boleh, FAM akan kaji pendaftaran kedua pemain import dan jika boleh percepatkan proses itu, tapi untuk buat rayuan dan tukar tarikh rayuan memang sukar.
“Kalau boleh kita percepatkan atau kekalkan pada April dan ia mesti dipersetujui oleh ahli majlis,” katanya.
Luahan Perasaan