India ikat Malaysia 1-1
- Rajagobal kecewa gawang dibolosi lawan pada minit akhir
KEALPAAN benteng pertahanan Malaysia pada minit-minit akhir dihukum jentera serangan India apabila kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 pada aksi persahabatan bola sepak di Stadium Indira Gandhi, Guhawati, India malam kelmarin.
Meskipun mendahului menerusi jaringan Safiq Rahim pada minit ke-42, pemain pertahanan India, Syed Rahim Nabi berjaya menanduk masuk gol penyamaan dua minit sebelum perlawanan tamat, sekali gus menyelamatkan maruah tuan rumah di depan lebih 20,000 penonton.
Begitupun, ketiadaan penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali yang dilaporkan masih keletihan selepas baru sahaja tiba di bumi India dari Jakarta, Indonesia sebelum perlawanan kelmarin dilihat tidak begitu dirasai oleh jentera serangan Datuk K. Rajagobal.
Skuad negara terlebih dahulu melakukan serangan bertali-arus sejak minit pertama permainan menerusi gandingan Safiq bersama penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri.
Malaysia yang kedudukan ranking ke-160 dunia, sembilan tangga di depan India mendahului apabila percubaan Safiq yang tidak dikawal melepasi jangkauan penjaga gol India, Karanjeet Singh.
India yang kembali bangkit menggandakan asakan pada babak kedua berjaya mencemaskan pasukan pelawat menerusi beberapa percubaan merbahaya penyerang, Sunil Chetri.
Gol yang ditunggu-tunggu pasukan tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-88 apabila Syed Rahim mudah melepasi kawalan Mohamad Azmi Muslim untuk menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Antony Pereira.
Rajagobal berkata, beliau agak kecewa dengan gol pada minit-minit akhir yang berjaya diledak India meskipun pasukannya menguasai permainan sebelum itu.
“Ia memang mengecewakan, penjaga gol India juga beraksi cemerlang apabila beberapa kali berjaya menafikan percubaan penyerang kami,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Rajagobal, dia juga bimbang mengenai prestasi anak buahnya ketika beraksi di atas padang tiruan apabila kedua-dua pasukan kembali membuat perhitungan di Stadium Salt Lake, Kolkata esok (pukul 8.15 malam waktu Malaysia).
“Beraksi di atas padang tiruan memang sedikit merisaukan saya.
“Namun pada masa sama, jentera serangan kami dijangka kembali tajam dengan kehadiran semula Safee yang dijangka diturunkan dalam perlawanan kedua nanti.
“Malah, saya masih menilai sama ada kecederaan yang dialami oleh Norhafiz (Zamani Misbah) serius ataupun tidak sebelum boleh diturunkan kelak,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih India, Savio Medeira mengakui: “Saya berpuas hati dengan keputusan perlawanan, tambahan pula persediaan kami yang agak singkat.
Saya lihat, pemain kami banyak memberi ruang kepada pemain Malaysia mencipta gerakan, itu yang perlu kami atasi dalam perlawanan kedua nanti,” katanya. — Kosmo
November 15, 2011 - 10:38 pm
Tahniah dan pujian harus diberikan kpd Rajagopal dan anak buahnya….. sebab hantar team B malah main kat tempat lawan boleh dpt goal… dan hampir mencapai kemenangan… teruskan usaha…. Syafiq Rahim memang boleh harap… playmaker yang boleh diharapkan…
July 10, 2013 - 5:30 pm
dia memang boleh main la mapley
November 16, 2011 - 5:07 pm
NORSHAHRULLLLLLLLL..