Harga rumput SNBJ RM1.5 juta sia-sia?
KOS yang mencecah sehingga RM1.5 juta untuk membaik pulih keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak membawa sebarang makna.
Keadaan padang stadium itu masih berada pada tahap yang sangat mengecewakan dan masih belum sempurna sepenuhnya untuk menganjurkan sebarang perlawanan bola sepak berprestasi tinggi.
Ekoran masalah tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Harimau Malaya dengan Vietnam di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.
Rumput yang masih belum matang dan mudah rosak telah memaksa FAM untuk mengubah venue perlawanan separuh akhir pertama itu ke Shah Alam walaupun kerja-kerja membaik pulih padang Stadium Nasional, Bukit Jalil itu telah dilakukan sejak Oktober tahun lepas.
Selepas kerja-kerja membaik pulih itu selesai, stadium tersebut telah digunakan untuk final Piala Malaysia antara Pahang dengan Johor Darul Takzim baru-baru ini, namun keadaannya sekadar ‘indah khabar dari rupa’.
Selepas aksi final itu, pihak Perbadanan Stadium Malaysia telah menjalankan semula kerja-kerja membaik pulih, namun keadaan padangnya masih belum boleh digunakan.
Selepas meninjau keadaan padang di stadium berkenaan dua hari lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengaku tidak puas hati dengan keadaan rumput yang dilihat belum stabil terutamanya di bahagian penjuru padang.
“Padangnya masih belum boleh digunakan. Saya sudah pergi tengok padang itu beberapa hari lepas, keadaan sudah bertambah baik, cuma ada beberapa perkara yang saya tidak puas hati terutamanya keadaan rumput di bahagian penjuru padang.
“Jadi saya dan Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAM) bersetuju untuk gantikan Stadium Shah Alam sebagai venue baharu untuk aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Harimau Malaya dengan Vietnam nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Kemahiran Keusahawanan Wanita Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) di ibu negara semalam.
Untuk memburukkan lagi keadaan, proses membaik pulih rumput di padang berkenaan memerlukan masa yang lebih lama untuk berada pada tahap kualiti yang sepatutnya.
Khairy juga berkata bahawa tiada sebarang pertambahan dana untuk membaiki padang berkenaan selepas proses baik pulih keseluruhan stadium berkenaan yang telah dimulakan sejak Oktober tahun lepas menelan belanja RM1.5 juta.
Luahan Perasaan