FAM tiada kuasa siasat rasuah

FA Malaysia SPRM

Azzuddin respon gesaan Shahidan Kassim

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan badan yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk memerangi gejala rasuah bola sepak di negara ini, kata Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau sebaliknya berkata, skandal rasuah bola sepak adalah satu kesalahan jenayah dan ia adalah di bawah bidang kuasa siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“FAM hanya boleh menghukum pesalah, sama ada pemain atau jurulatih, apabila mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap pesalah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa sembilan anggota skuad negeri itu disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan selepas tewas 2-7 kepada MP Muar pada aksi pertama Liga Perdana pada 9 Januari lalu.

Sehubungan itu, Azzuddin meminta semua anggota gabungannya memikirkan jalan terbaik bagi menyekat gejala rasuah bola sepak yang kembali menular.

Beliau berkata, tanggungjawab untuk memerangi gejala itu bukan hanya terletak di bahu FAM sebaliknya tanggungjawab semua anggota gabungan yang bernaung di bawah FAM.

“Saya harap persatuan negeri mahupun kelab mengambil berat tentang perkara ini bagi mengelak pemain mahupun jurulatih mereka terjebak dengan gejala itu,” katanya.

Azzudin berkata, tanggungjawab persatuan dan kelab juga ialah memberi maklumat yang secukupnya kepada pasukan masing-masing tentang kesalahan melakukan jenayah rasuah bola sepak menerusi penerangan dari pihak SPRM negeri pasukan berkenaan. - BERNAMA

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>