FAM belum putuskan siar nama 18 pemain terlibat rasuah
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) belum pasti sama ada akan mendedahkan nama 18 pemain Piala Presiden yang terbabit dengan gejala rasuah kepada umum kerana ia bergantung kepada keputusan Presiden, Sultan Ahmad Shah.
Perkara ini dimaklumkan Setiausaha Agung badan induk bola sepak tanah air itu, Datuk Azzuddin Ahmad.
“Kami belum menetapkan lagi sama ada akan mengumumkan nama pemain terbabit kepada umum kerana perkara ini akan dibentangkan kepada Tuanku Presiden terlebih dulu dan kemudian terpulang kepada Tuanku Presiden untuk membuat keputusan,” katanya.
Ketika ditanya adakah FAM akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan perkara itu esok, Azzuddin berkata: “Belum ditetapkan lagi, kita akan putuskan sama ada akan memberikan nama pemain terbabit kepada pihak media atau tidak.”
Selepas mesyuarat Exco FAM, Sabtu lalu, badan induk bola sepak tanah air itu mengumumkan hukuman penggantungan 18 pemain untuk tempoh dua hingga lima tahun membabitkan enam pemain setiap pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar tahun lalu selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.
Rata-rata pemain itu berusia antara 18 hingga 21 tahun.
Selain 18 pemain terbabit, bekas jurulatih skuad bawah 21 tahun Negeri Sembilan, Yusarman Yusof pula dilapor dikenakan penggantungan seumur hidup.
FAM sebelum ini menjelaskan hanya akan mendedahkan nama pemain terbabit kepada umum esok selepas semua urusan dan peringatan dikeluarkan kepada persatuan negeri dan kelab ahli gabungan FAM.
Bagaimanapun tindakan FAM itu mendapat reaksi berbeza bekas pemain negara dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh.
Dalam laporan Arena Metro semalam, Serbegeth yang turut dikenali dengan panggilan Shebbie menggesa badan induk bola sepak tanah air itu tidak memburukkan lagi keadaan dengan mendedahkan identiti pemain muda terbabit kepada umum.
Baginya jika perkara itu dilakukan, ia bukan saja memusnahkan masa depan pemain terbabit dalam aktiviti bola sepak, malah usaha membina kerjaya dalam bidang lain turut tergugat. — HM
‘Beri peluang kedua’
LANGKAH pertama dalam memulihkan semula jati diri sejumlah pemain Piala Presiden yang didakwa terbabit dalam skandal mengatur keputusan perlawanan musim lalu adalah dengan tidak memburukkan keadaan sehingga mendedahkan identiti sebenar mereka kepada masyarakat umum.
Sekiranya dilakukan, ia bukan saja memusnahkan masa depan mereka dalam aktiviti bola sepak, malah usaha untuk membina kerjaya dalam bidang lain turut tergugat.
“Pasti selepas ini pasukan lain tidak mahu mengambil mereka untuk beraksi, jadi janganlah sampai pemain muda yang berusia bawah 21 tahun ini dianggap bermasalah sehingga untuk menjadi budak pejabat pun sukar.
“Cukuplah dengan penggantungan dua hingga lima tahun yang dijatuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta nama mereka diberikan kepada ahli gabungan dan kelab,” kata bekas pemain negara dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh.
FAM selepas mesyuarat exconya, kelmarin mengesahkan 18 pemain Piala Presiden membabitkan enam pemain setiap pasukan Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar terbabit dalam gejala tidak sihat itu dengan nama dan bentuk hukuman akan diketahui pada Rabu ini.
Namun bekas pengendali skuad bawah 21 tahun Negeri Sembilan, Yusarman Yusof dilaporkan dikenakan penggantungan seumur hidup.
“Hukuman berat terhadap jurulatih adalah sesuatu yang wajar kerana beliau individu bertanggungjawab terhadap setiap pemain di bawah kendaliannya. “Namun bagi pemain muda, tempoh penggantungan yang dikenakan diharapkan dapat memberi keinsafan kepada mereka kerana ia ibarat peluang kedua,” katanya.
Badan induk bola sepak negara itu turut memantau secara rapi transaksi pembayaran gaji membabitkan semua saingan anjurannya menerusi Penolong Setiausaha Agung FAM, Kelly Sathiaraj yang akan memberi laporan terus kepada Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sekiranya terdapat masalah berhubung perkara terbabit.
Kes rasuah pemain Piala Presiden
Luahan Perasaan