Asia Tour 2012: Malaysia 1-2 Arsenal
Malaysia vs Arsenal [1-2] Asia Tour 2012 | Foto Sinar Harian
KELAB Liga Perdana Inggeris, Arsenal FC bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan persahabatan sengit di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa malam.
Kemenangan itu adalah yang kedua bagi kelab berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘The Gunners’ selepas mengalahkan skuad kebangsaan 4-0 di venue yang sama semasa Jelajah Asia pasukan itu tahun lepas.
Pasukan negara yang diberi jolokan ‘Harimau Malaya’ terlebih dahulu mencemaskan The Gunners menerusi tendangan voli Mohd Safee Sali seawal minit kelima namun percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Arsenal, Vitor Mannone.
Marouane Chamakh hampir membuka jaringan buat kelab Inggeris itu pada minit kelapan tetapi percubaannya berjaya ditolak keluar penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias.
Anak buah Datuk K. Rajagobal berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan di separuh masa pertama apabila pemain pertahanan Mohd Azmi Muslim merembat kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan Mannone.
Buntu untuk mencari gol penyamaan, jurulatih Arsenal, Arsene Wenger membuat rombakan kepada pasukannya pada separuh masa kedua namun benteng pertahanan negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S. Subramaniam berjaya mengekang asakan pasukan lawan.
Pemain yang baharu menandatangani kontrak dengan The Gunners dari Jerman, Thomas Eisfeld berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 akibat kelalaian benteng pertahanan negara.
Pemain muda, Chuks Aneke muncul wira dengan gol kemenangan Arsenal selepas rembatannya terkena pemain pertahanan Malaysia untuk Farizal tewas buat kali kedua pada minit-minit terakhir permainan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyampaikan piala dan pingat kepada kedua-dua pasukan berkenaan.
Arsenal akan mengakhiri Jelajah Asia mereka menentang pasukan Kitchee FC dari Hong Kong di Stadium Hong Kong pada Ahad ini.
- BERNAMA
July 25, 2012 - 12:23 pm
Tahniah HM,main bersungguh2..tak apa tewas bermaruah,yg penting team Arsenal hampir berputih mata (tercalar maruah bak kata pengulas keh3..)