Aksi menentang Yaman bukan pelengkap jadual
Kelayakan Piala Asia 2015
Yaman vs Malaysia
ATAS kertas, misi skuad Harimau Malaya untuk menempah slot secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia tampak mustahil.
Sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata, Harimau Malaya kini tidak lagi mampu memintas Bahrain dan Qatar yang masing-masingnya sudah memungut 13 dan 12 mata ketika saingan di peringkat kelayakan hanya berbaki satu perlawanan lagi untuk diharungi.
Namun bagi tonggak pertahanan skuad negara, Mohammad Fadhli Shas, maruah skuad negara wajar dipertahankan menjelang pertemuan berdepan Yemen di Dubai pada 5 Mac depan.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan sepasukan kini sudah tidak sabar mengulangi kejayaan menundukkan Yemen seperti mana ketika melakar kemenangan 2-1 di Stadium Shah Alam pada 22 Mac tahun lalu.
“Ia bukan sekadar aksi pelengkap jadual perlawanan semata-mata.
“Selain mempertahankan maruah skuad negara, kemenangan itu juga mampu memperbaiki ranking FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
“Jadi, kami akan berjuang bermati-matian untuk membawa pulang tiga mata berharga dalam perlawanan itu, soal layak atau tidak itu perkara kedua,” katanya.
Fadhli berkata, dia juga sudah masak dengan corak permainan skuad Yemen berdasarkan pertemuan tempoh hari.
“Penyerang Yemen (Aiman Al Hagri) yang menjaringkan gol di Shah Alam wajar dirantai, selain berwaspada dengan corak serangan kilat yang dimiliki mereka di bahagian sayap.
“Saya juga bersedia digandingkan dengan sesiapa sahaja untuk mengemudi benteng pertahanan asalkan mendapat kepercayaan jurulatih (Datuk Ong Kim Swee),” katanya.
Justeru, Fadhli menyeru rakan-rakan sepasukannya supaya memberikan yang terbaik ketika melayan kunjungan Filipina dalam satu aksi persabahatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac depan.
“Aksi berdepan Filipina tidak boleh dipandang mudah walaupun ia sekadar medan pemanas badan.
“Cuma pada masa sama, kami harus kekal fokus supaya dapat memberikan yang terbaik ketika berdepan Yemen kerana ia lebih menjadi keutamaan kami ketika ini,” katanya.
Selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini, Malaysia hanya melakar satu kemenangan dan satu seri manakala selebihnya tewas.
Selain menang 2-1 ke atas Yemen dan seri 1-1 dengan Bahrain, skuad Harimau Malaya yang sebelum ini dikendalikan Datuk K. Rajagobal ditewaskan Qatar sebanyak dua kali (0-2 dan 0-1) selain turut mengalami kekalahan 0-1 di tangan Bahrain dalam aksi di Stadium Nasional Manama pada 19 November tahun lalu.
Luahan Perasaan