PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bertindak membuat akuan bersumpah terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa gagal mengawal keselamatan para pemain serta penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu, lapor MAZLINA ABDUL MAJID.
Akuan tersebut dibuat oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim dan Bendahari Kehormat PBNJ, Datuk Abd. Latif Bandi yang juga merangkap Penolong Pengurus pasukan Johor DT.
Menurut Suhairi, akuan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai rujukan.
“Tujuan (membuat akuan bersumpah) ialah untuk mendapatkan jawapan terhadap janji KAFA yang mahu menjamin keselamatan dan keselesaan para penyokong Johor DT sebagai tetamu. Ada antara mereka yang cedera dan trauma gara-gara insiden baru-baru ini.
“Saya sebagai ketua yang sepatutnya menjaga keselamatan ahli rombongan berasa amat kecewa dan malu kepada peminat-peminat Johor DT,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Johor Bahru semalam.
Akuan bersumpah itu antara lain menjelaskan butiran mesyuarat antara wakil KAFA iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ismail Mohd. Nor mengenai perlawanan kedua-dua pasukan pada pukul 2 petang, 15 Januari lalu sebelum permainan berlangsung.
Kenyataan tersebut turut menyebut, Annuar dan Ismail mengesahkan bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang kehadiran 200 penyokong Johor DT tetapi bersedia untuk menyambut kedatagan tetamu VVIP dari Johor DT walaupun hal itu telah dimaklumkan dalam surat PBNJ kepada KAFA bertarikh 14 Januari lalu.
“Kami berbincang tentang suasana semasa apabila penyokong Kelantan masih tidak berpuas hati dengan isu Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan saya menyatakan bahawa semua pihak perlu bersedia berhadapan provokasi daripada penyokong, serta kebimbangan tentang isu keselamatan.
“Oleh itu, Annuar telah minta Ismail untuk memanggil satu mesyuarat keselamatan antara PBNJ, KAFA dan pihak-pihak yang bertanggungjawab,” menurut akuan tersebut.