PEMAIN antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan Johor semalam.
Majlis menandatangani kontrak itu berlangsung secara tertutup di Hotel Thistle, di sini pukul 1 tengah hari dan disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta pengurus pasukan, Fandi Ahmad.
Bagaimanapun, nilai sebenar kontrak dan gaji yang diterima Guiza dirahsiakan.
Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata, pemain yang dipinjamkan dari pasukan Getafe berusia 32 tahun itu dijangka menyertai sesi latihan bersama skuad Johor selepas sambutan Krismas.
“Berdasarkan syarat yang ada di dalam kontrak, Guiza sepatutnya memulakan latihan pada 1 Disember ini, tetapi Tunku Ismail memberikan pelepasan kepadanya untuk pulang ke Sepanyol bagi sambutan Krismas,” katanya ketika dihubungi di sini.
Penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008 ketika mewakili Mallorca tiba di sini kelmarin dengan azam memberikan aksi terbaik, sekali gus mahu melihat pasukan Johor menjuarai Liga Super musim depan.
Guiza turut melaungkan amaran untuk muncul penjaring terbanyak bagi memburu Kasut Emas serta menjaga statusnya sebagai pemain import termahal dalam Liga Malaysia.
Selain Mallorca dan Getafe, pemain tinggi lampai itu juga pernah menyarung jersi kelab Turki, Fenerbahçe dan turut membuat penampilan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab tersebut.
Johor yang memasang impian tinggi bagi mengembalikan kegemilangan pasukan negeri seperti era tahun 90-an turut menandatangani beberapa pemain terkenal tempatan termasuk pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak.
Turut disambar adalah kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim, Azmi Muslim, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Nurul Azwan Roya bagi membentuk pasukan mantap musim depan.
[...] untuk mencukupkan kuota pemain import pasukan Harimau Selatan itu selepas berjaya menandatangani pemain Liga Sepanyol, Daniel Guiza bulan [...]