SPRM teliti dakwaan anggota polis terlibat atur perlawanan Liga M
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti sekiranya wujud elemen rasuah berhubung dakwaan terdapat anggota polis terlibat dalam aktiviti ‘bookie’ bola sepak di Johor.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata aktiviti itu biasanya dilihat dari aspek perjudian dan bukannya rasuah.
“Bookie bola sepak ini sebenarnya kadang-kadang melibatkan judi atau pertaruhan dan bukannya rasuah.
“Perjudian ini termasuklah perjudian haram dan ianya perlu tindakan daripada pihak polis tetapi sekiranya didapati ada unsur rasuah, tindakan sewajarnya perlu diambil dan diteliti oleh SPRM,” katanya ketika dihubungi Bernama di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media hari ini berhubung dakwaan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bahawa terdapat anggota polis
yang terlibat dalam aktiviti menentukan perlawanan atau bookie bola sepak.
Tengku Mahkota Johor meminta polis Bukit Aman dan SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan beliau mengenai bookie bola sepak.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata sebarang siasatan dalaman dan tindakan akan dilakukan oleh Polis Kontinjen Johor.
“Segala perkara melibatkan isu bookie haram di Johor adalah di bawah tanggungjawab polis Johor sendiri,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. - Bernama
Luahan Perasaan