Selangor berdepan krisis kecederaan
Selangor berdepan kesukaran dalam usahanya menamatkan baki tujuh perlawanan liga dengan bergaya apabila ramai pemain utamanya mengalami kecederaan sedangkan mereka kini semakin jauh ketinggalan di belakang pendahulu Liga Super, Pahang.
Untuk membuat keadaan lebih parah, skuad Mehmet Durakovic bakal berdepan lawan kuat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini dengan hampir separuh kekuatan mereka hilang, termasuk penjaring terbanyaknya Muhammad Afiq Azmi yang mungkin tidak dapat beraksi.
Selangor, yang kini di tempat kelima dalam carta Liga Super, berada sembilan mata di belakang Pahang yang mengumpul 33 mata selepas 15 perlawanan manakala PDRM hanya berada dua mata di belakang mereka dengan 21 mata untuk menghuni anak tangga ketujuh.
Mehmet menyedari ketika persaingan liga berada di fasa kemuncak skuad kendaliannya tidak boleh lagi mencicirkan sebarang mata untuk menghidupkan peluang mencabar kelompok empat teratas yang turut diisi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak dan Felda United.
“Setakat ini pasukan berada dalam keadaan baik, bagaimanapun terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan. Jentera serangan kami ada masalah apabila Afiq mengalami kecederaan pada bahagian hamstring.
“Kemudian Raimi (Md. Noor) cedera pada bahagian buku lalinya manakala penjaga gol Mohd. Hamsani Ahmad cedera di pangkal paha serta A. Thamil Arasu cedera pada bahagian hamstring. Keadaan lebih buruk apabila pemain tengah Leandro (Dos Santos) tidak dapat beraksi kerana mengutip kad kuning.
“Situasi buruk ini jelas memberi kesukaran untuk berdepan dengan PDRM kerana mereka memiliki pemain import berbahaya. Bagaimanapun saya mengambil masalah ini secara positif kerana ketika ramai pemain utama cedera inilah masanya untuk pemain lain beraksi. Ini satu peluang yang tidak boleh mereka lepaskan (untuk membuktikan keupayaan).
“Saya akan menilai pemain yang bakal diturunkan pada hari perlawanan semasa sesi latihan dan saya berharap mereka bersaing dan berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.
Dalam pada itu, Mehmet menegaskan dia tidak memandang mudah terhadap PDRM, meskipun skuad itu mengalami masalah dalaman yang menyaksikan khidmat ketua jurulatih Azman Adnan serta penolongnya Nazrul Erwan digugurkan selain menamatkan kontrak dua pemain Muslim Ahmad dan Mohd. Nurul Azwan Roya.
“Bagi saya tiada kelebihan pun kepada kami sebab sudah pasti mereka mahu bangkit daripada mengalami kemerosotan prestasi, ditambah pula dengan masalah dalaman tersebut. Saya yakin mereka mahu membalas dendam dalam perlawanan itu nanti.
“Kami tidak memandang rendah kepada mereka walaupun kami beraksi di gelanggang keramat kami sebab ia juga merupakan laman mereka juga. Apa-apa pun Selangor akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan tersebut dan diharapkan kami berjaya mengutip tiga mata penuh,” katanya.
Luahan Perasaan