Piala FA: Penguasaan pasukan Pantai Timur

Terengganu jumpa Pahang, Kelantan temu Selangor

TIGA pasukan Pantai Timur menguasai saingan separuh akhir Piala FA 2011 apabila menyingkirkan lawan masing-masing di peringkat suku akhir kedua malam ini.

JUARA Piala Malaysia 2010, Kelantan menumpaskan Felda United 3-0 [LIHAT VIDEO] di Stadium Sultan Mohd Ke-IV dan mara dengan keputusan agregat 5-2.

Kelantan akan bertemu Selangor selepas Juara Liga Super 2010 itu menyingkirkan Johor juga menerusi agregat 5-2.

Selangor menang 2-1 ke atas Johor di Stadium Larkin malam ini selepas perlawanan pertama di Shah Alam memihak pasukan Red Giants 3-1.

Sementara itu Terengganu melengkapkan penguasaan pasukan Pantai Timur selepas menyingkirkan Perak 5-4 secara agregat apabila menang 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. [LIHAT VIDEO]

Perlawanan pertama di Ipoh 15 Mac lalu Perak menang 3-2.

Terengganu akan menentang Pahang di peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada 13 Mei nanti.

Perlawanan di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus, Johor Bahru menyaksikan pasukan pelawat, Selangor menafikan peluang tuan rumah, Johor ke perlawanan separuh akhir apabila mencatat kemenangan 2-1 untuk mara dengan agregat 5-2.

Kedua-dua jaringan hasil tandukan Mohd Amri Yahyah menerusi sepakan percuma pada minit ke-29 dan 50 menjadi pelengkap kemenangan Selangor yang turun selaku juara lima kali Piala FA untuk ke saingan seterusnya.

Gol saguhati Johor bagaimanapun hadir selang lapan minit kemudian (m-58) menerusi rembatan Norizam Salaman dalam kawasan kotak penalti.

Perlawanan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu pula menyaksikan pasukan Kelantan menewaskan Felda United 3-0, dan keputusan itu memberikan kemenangan mutlak kepada Kelantan dengan agregat 5-2, selepas kedua-dua pasukan itu seri 2-2 dalam pertemuan pusingan pertama pada 15 Mac lepas.

Felda United yang kelihatan mempamerkan corak permainan yang kemas dikejutkan dengan jaringan S Chanturu menerusi hasil umpanan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.

Di separuh masa kedua Kelantan terus menguasai perlawanan menerusi jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-66, dan Mohd Nizad Ayub pada minit ke-88.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah berjaya merebut tempat ke peringkat separuh akhir dengan menumpaskan juara sulung Piala FA 1990, Perak 3-1, selepas pasukan itu kalah 2-3 kepada Skuad Seladang itu dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Ipoh, Perak, Selasa lepas.

Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Ree Shafiq Alwi pada minit ke-29, Manap Mamat (m-51) dan Abdul Hadi Yahya (m-80) sementara gol saguhati Perak dijaringkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-76.

Pahang pula terlebih dahulu menempah tiket ke separuh akhir Piala FA apabila menang dengan agregat 2-1 mengalahkan Kuala Lumpur, walaupun perlawanan pusingan kedua di Stadium Darul Makmur malam semalam menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>