Menjelang Final Piala FA 2011
Menjelang Perlawanan Akhir Piala FA 2011
Kelantan vs Terengganu
Stadium Nasional Bukit Jalil
11 Jun 2011, 8.45 malam
LIVE Astro Arena, TV1
JERITAN ketua pasukan - di tengah-tengah lautan penyokong - pasti menjadi antara elemen penting kejayaan pasukan dan pertembungan Kelantan-Terengganu, malam ini tiada bezanya.
Mengerti betapa penting nikmat kejayaan Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kedua-dua ketua pasukan finalis berkenaan bertekad mengerah segala keringat sepanjang 90 minit untuk satu misi - membantu pasukan kesayangan mereka menjulang trofi penuh megah selaku juara.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi dan rakan sejawatan dari Terengganu, Marzuki Yusof jelas tidak mahu pulang menggigit jari dan melafazkan tekad memberi persembahan terbaik dan sanggup bermain mati-matian kerana mahu bergelar juara baru dari Pantai Timur, malam ini.
Badri atau lebih mesra dengan panggilan Piya yang baru menyambut harijadi ke-29, minggu lalu berkobar-kobar untuk beraksi membantu Red Warriors dalam misi membawa pulang Piala FA yang tercicir daripada genggaman mereka pada 2009 kepada Selangor.
“Kami cukup bersemangat menghadapi final ini menentang Terengganu dan berharap sokongan padu seluruh rakyat Kelantan khususnya peminat bola sepak agar mendoakan kami berjaya membawa pulang Piala FA ke Kelantan buat pertama kalinya,” katanya.
Sentimen sama turut disuarakan Marzuki yang sama ghairah mahu membawa pulang piala ke halamannya bersama rakan-rakan.
“Matlamat Terengganu adalah memburu kemenangan dan yakin jika barisan serangan berfungsi baik serta dapat menjaringkan gol pada awal babak permainan, kejayaan pasti milik kami,” katanya.
June 11, 2011 - 3:12 pm
x kira setajam mana pun hadi…kita tetap mahu memang…gomo kelate gomo