zv7qrnb
Pengadil, dana pasukan fokus TMJ jika dipilih Presiden FAM | Sokernet

Pengadil, dana pasukan fokus TMJ jika dipilih Presiden FAM

Rizal Hashim vs TMJ Dengan Izin

Mewujudkan pengadil profesional dan memberikan dana yang lebih tinggi kepada setiap persatuan bola sepak negeri, itu dua janji yang diberikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya dipilih menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2014-2018.

Selain itu, beliau berpandangan pengurusan FAM terlalu banyak kelemahan dan sudah tiba masa­nya, perkara itu diperbaiki dengan bertanding dalam pemilihan sempena Kongres FAM, 25 Mei ini.

Dalam masa sama, beliau bersedia melepaskan jawatan dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dengan melantik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar sebagai pengganti jika memenangi pertandingan jawatan Presiden FAM.

“Saya bertanding bukannya bermaksud tidak menghormati Pre­siden FAM, Sultan Ahmad Shah atau Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi kecewa dengan pengurusan yang ada di FAM sekarang.

“Visi dan misi saya jika menjadi Presiden FAM adalah mewujudkan jawatan pengadil profesional dan sebagai badan induk bola sepak negara, kita mestilah bertindak sebagai penjaga liga kita dan bukannya bersikap seperti pemilik.

“Persatuan-persatuan bola sepak negeri mestilah dijaga sepenuhnya dengan turut membantu dari segi kewangan, itulah tanggungjawab FAM sepatutnya.

“Tiap-tiap persatuan bola sepak negeri saya akan berikan RM2 juta hingga RM3 juta sekiranya saya dipilih menjadi presiden, dengan itu mereka boleh membuat segala pertandingan yang lebih banyak di (peringkat) akar umbi,” katanya dalam rancangan terbitan Astro Arena, Dengan Izin yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Beliau turut mengkritik mutu Liga Malaysia yang disifatkan masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain termasuk Singa­pura selain masih gagal menghantar wakil untuk beraksi dalam Liga Juara-juara Asia.

“Saya masih kecewa kerana pa­sukan-pasukan liga tidak boleh bermain dalam Liga Juara-juara Asia dan liga kita masih Gred D sedangkan liga negara kita berpotensi jauh.

“Singapura mempunyai gred lebih baik berbanding kita, sedang­kan kita bukannya B atau C iaitu gred D sahaja, sesuatu perlu dilakukan dalam hal ini,” katanya.

Menyentuh mengenai sebab yang membuatkan beliau tergerak hati untuk bertanding, Tunku Ismail berkata, semuanya kerana permintaan penyokong yang mahukan perubahan di dalam FAM.

“Apa yang saya buat ini adalah dorongan daripada penyokong, ini adalah demi mereka kerana mereka yang mahukan saya membuat sesuatu perubahan di dalam FAM,” katanya.

3 Responses to Pengadil, dana pasukan fokus TMJ jika dipilih Presiden FAM

  1. Aku akan pastikan FAM tetap menjadi jajahan takluk keturunanku dgn memastikan kuasa pemerintahan beralih kepada PakGajah pula. SangRimau, teruskan mimpi di siang harimu.

  2. dari sudut positifnya mutu bolasepak kita berpeluang cerah untuk berkembang jika tmj yg pegang fam dan baginda melaksanakan apa yang dirancang. tapi negatifnya takut semakin banyak angkara negatif dari penyokong jdt selepas ini. mereka tak perlu takut lagi kerana yang bakal menetapkan denda tengku mahkota mereka jugak. bimbang lepas ni bukan setakat tumbuk pengadil tapi belasah pengadil dan belasah pemain serta pegawai pasukan pulak.

  3. TMJ dgn TMP, sape lagi terer main bola??sendiri mau igt..hahaha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>