Negeri Sembilan sasar kelompok lima teratas liga
Negeri Sembilan FA
NEGERI Sembilan yakin dapat menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super 2012 selepas berjaya membenam cabaran Kedah dalam aksi di Stadium Darul Aman malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut skuad Hoben Jang Hoben menang 2-0 hasil jaringan penyerang import, Jean Emmanuel Effa Owona dan pemain sayap, S Kunanlan.
Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah memuji aksi ditunjukkan anak buahnya walaupun perlawanan berlangsung agak tegang.
Menurut Azraai, barisan pemain skuad Rusa menunjukkan persembahan yang baik dan bangkit dari kekalahan di gelanggang sendiri kepada Juara Liga Super 2012, Kelantan pada aksi sebelum ini.
“Kita harap dengan kemenangan ini, ia akan mencerahkan peluang pasukan untuk menduduki carta lima terbaik Liga Super,” kata Azraai.
Negeri Sembilan kini berada di tangga keenam, dua mata di belakang Terengganu yang berada di kedudukan kelima.
Saingan Liga Super 2012 kini hanya berbaki dua lagi perlawanan untuk ditutup tirainya dengan Kelantan berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu.
Luahan Perasaan