SENYUMAN panjang yang terukir di wajah Yunus Alif sejurus wisel penamat dibunyikan sudah cukup menggambarkan betapa perasaan bangga jurulatih T-Team itu selepas anak-anak buahnya berjaya menewaskan Kelantan 4-3 kelmarin.

Lebih manis lagi, Yunus turut mengakui kejayaan itu merupakan kemenangan paling bermaruah yang pernah diraih pasukannya sepanjang kempen Liga Super musim ini.

“Siapa sangka kami boleh menewaskan sebuah pasukan yang cukup hebat pada musim ini tetapi kami telah buktikan dan inilah kekuatan sebenar yang ada pada T-Team.

“Kami bermain mengikut cara kami dan hasilnya, kami berjaya mencatat kemenangan,” kata Yunus.

Malah, Yunus melahirkan rasa puas kerana berjaya menebus kekalahan kepada Kelantan selepas disingkirkan pasukan sama pada kempen Piala FA sebelum ini.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, saingan Piala FA dengan Liga Super adalah berbeza.

“Apa yang penting, kami berjaya mengekalkan rentak kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut dan tiga mata yang dikutip malam ini (kelmarin) adalah tiga mata paling berharga buat T-Team,” jelasnya lagi.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, T-Team yang beraksi di hadapan 5,000 penyokong tempatan tampil dengan kelas tersendiri.

Empat gol yang dijaringkan tuan rumah itu, masing-masing disumbangkan Zairo Anuar Zailani, Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin dan Haris Safwan Kamal.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi pasukan walaupun masih ada sedikit kekurangan terutamanya dalam mengekalkan fokus sepanjang 90 minit permainan.

“Kita boleh lihat bagaimana pemain saya hilang tumpuan selepas mendahului tiga gol sehingga memberi laluan kepada pemain lawan menjaringkan dua gol dalam tempoh masa yang singkat.

“Masalah inilah yang paling saya takuti apabila pemain mula memberi ruang kepada lawan tanpa mahu memberi tekanan,” ujarnya. -KOSMO




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)