Wan Jamak hadapi tugas getir

LUKA Negeri Sembilan terubat walaupun skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan sekadar mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Kemenangan itu sekali gus menyelamatkan maruah Wan Jamak sebagai pengendali skuad Hoben Jang Hoben, yang berdepan tindakan penggantungan, jika tewas dalam pertemuan tersebut.

Ini berikutan amaran oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menggantung khidmat jurulatih itu, jika Negeri Sembilan mencatat kekalahan tiga kali berturut-turut.

Namun sekalipun berjaya meraih kemenangan ke atas Sabah dalam perlawanan berkenaan, prestasi dipamerkan kesebelasan utama Negeri Sembilan belum mencapai tahap keupayaan sebenar.

Ini diakui Wan Jamak yang merumuskan betapa masih banyak kelemahan perlu diperbaiki apabila anak buahnya terpaksa menunggu sehingga minit ke-76 mencatat kemenangan tipis 1-0 untuk meraih tiga mata berharga.

Pada pertembungan kelmarin, penolong ketua pasukan, Hairuddin Omar muncul sebagai penyelamat Negeri Sembilan apabila berjaya menjaringkan gol tunggal hasil hantaran lintang pemain penyerang, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-76.

Meskipun pasukan tuan rumah mendominasi keseluruhan perlawanan, banyak percubaan dan peluang gol gagal disempurnakan oleh anak buah Wan Jamak bagi mencari kemenangan selesa ke atas pasukan Sabah yang dibimbing Gary Pihilips.

Wan Jamak memberitahu, dia amat bersyukur dan lega dengan kemenangan tersebut, sekali gus membolehkan Negeri Sembilan meraih tiga mata penuh, untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

”Saya amat berpuas hati dengan persembahan pemain secara keseluruhannya, kerana mereka telah mempamerkan permainan berpasukan seperti yang saya harapkan.

”Saya juga bersyukur kerana kami berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini, walaupun banyak percaturan pemain baru terpaksa dilakukan bagi menggantikan tempat lima pemain utama, ekoran masalah kecederaan,” jelasnya.

Diminta mengulas dia mungkin digantung jika tewas kepada Sabah, Wan Jamak enggan membangkitkan isu tersebut, namun mengakui terkilan kerana bakal berhadapan dengan tindakan tersebut.

”Saya agak terkilan dengan isu ini. Namun inilah dunia bola sepak, walaupun pemain telah berusaha bersungguh-sungguh dan bermain dengan baik, ia tidak semestinya berakhir dengan kemenangan.

”Ini kerana dalam setiap perlawanan, satu kesilapan kecil boleh membawa padah sehingga boleh menjuruskan kepada kekalahan,” katanya.

Begitupun, Wan Jamak mengakui dia mempunyai tugas lebih berat pada perlawanan seterusnya saingan Liga Super menentang Red Wariors di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan esok.

”Kami mempunyai tugas yang lebih berat kerana ramai pemain utama masih dibelenggu masalah kecederaan seperti, Idris Karim, Abdul Halim Zainal, Tengku Qayyum, manakala Ahmad Aminuddin Shahruddin pula digantung.

”Hairuddin pun baru sahaja pulih daripada demam dan saya berharap pemain yang cedera ini dapat diserapkan jika sudah pulih bagi menentang Kelantan,” ujarnya.

Related Posts

2 Responses to Wan Jamak hadapi tugas getir

  1. HAHAHHA…KELATE MENANG LAGI….GOMO KELATE GOMO…GOMO NS PULOP DOH….HOBIN JANG HOBIN XDOP DOH….LOWNI KELATE GOMO PULOP….

  2. apo kono jang,terbolos ajo,orang dop monang,ko kaloh ajo,lirik lagu ni buleh wat msuk mentor ni,hahaha…gomo klate gomo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>