Tidak adil untuk saya berpindah saat akhir - Indra
Pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin akhirnya membuat keputusan untuk kekal bersama Felda United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Berita tersebut disahkan sendiri oleh pemain tersebut menerusi entri Facebook miliknya hari ini.
Perkhabaran itu sekali gus menamatkan spekulasi kepulangan semula pemain tengah berpengalaman itu ke pangkuan The Red Warriors selepas gambar pertemuanya bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tersebar di Facebook, semalam.
Indra Putra berkata, keputusan untuk kekal bersama Felda United dibuat bukan kerana gaji tetapi tidak mahu membebankan majikannya bagi mencari pengganti jika dia membuat keputusan saat akhir untuk berpindah.
“Ini bukan soal gaji sebab gaji yang The Red Warriors tawarkan jauh lebih cukup untuk menampung hidup saya di Kelantan tetapi dengan jadual padat dan latihan bersama pasukan Malaysia, saya tidak mempunyai masa untuk berjumpa atau berbincang mengenai hala tuju.
“Tetapi Felda United sanggup tunggu. Tidak adil bagi saya untuk berpindah di saat akhir memandangkan pendaftaran pemain sudah hendak tutup.
“Lagipun agak sukar untuk Felda United mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh saya,” katanya.
Luahan Perasaan