Selangor optimis hadapi Kedah
SKUAD bimbingan K Devan pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencatat kemenangan menjelang pertembungan Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.
Berdasarkan rekod dan prestasi semasa, kedua-dua pasukan mempunyai peluang agak seimbang.di dalam perlawanan malam ini.
Selepas sekadar seri 0-0 dengan Johor FC minggu lalu, Selangor pastinya mengintai untuk mengutip mata penuh ditempat sendiri.
Dua pemain kesebelasan utama Khairul Anuar Baharum dan D Surendran yang diketepikan minggu lalu akibat kecederaan berkemungkinan akan diturunkan di dalam pertemuan yang dianggap penting dalam saingan liga musim ini.
Ketiadaan dua tonggak tersebut nyata memberi kesan apabila kegoyahan benteng pertahanan Selangor jelas terlihat di dalam aksi menentang Johor FC.
Selepas ketiadaan Safee Sali, tugas dibahagian serangan digalas sepenuhnya Fadzli Saari bersama Amri Yahyah yang dilihat mula serasi bersama. Keupayaan gandingan baru ini terserlah semasa pertemuan menentang Terengganu apabila kedua-dua mereka membantu kemenangan 3-2 buat Selangor.
Bagi skuad Sang Kenari pula, rentak permainan perlahan dan tidak konsisten sedikit mencacatkan kempen untuk merangkul kejuaraan ligam musim ini.
Rekod di gelanggang lawan tidak memihak kepada Kedah, perkara ini pastinya akan merungsingkan ketua jurulatih Haji Mohd Yusoff.
Jika perlawanan menentang Kelantan dijadikan ukuran, Md Yusoff berhak untuk bimbang kerana ketumpulan penyudah dan kelesuan dibahagian tengah sangat ketara.
Pemain tengah Baddrol Bakhtiar masih belum memperoleh rentak hebatnya, manakala Azlan Ismail dan Md Khyril Muhymeen Zamri juga sudah hilang sentuhan berbisa.
Namun begitu Kedah boleh menarik nafas lega kerana kehadiran pemain kebangsaan Md Sabree Abu sekurang-kurangnya menutup ketempangan di dalam rentak permainan skuad bimbingan Md Yusoff.
Selangor kini menghuni tangga keenam liga dengan mengutip lapan mata di dalam lima perlawanan.
Luahan Perasaan