Prestasi terburuk Kelantan
SEMUA pemain gagal berfungsi dan kualiti permainan sangat teruk.
Itu komen pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, ekoran kekalahan memalukan pasukannya yang dibenam Perak 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam kelmarin.
Tanpa menyembunyikan kekecewaan tersebut, beliau memberitahu bahawa satu post-mortem akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kekalahan tersebut yang disifatkan paling buruk dalam tempoh empat tahun.
“Saya pun tidak tahu apa yang berlaku malam semalam. Kita seperti membiarkan Perak bermain dan kita gagal membuat sesuatu untuk menyekat kemaraan mereka. Hasilnya, ia cukup mengecewakan.
“Ini adalah persembahan paling buruk setakat ini dan kita perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan semula moral pemain dan penyokong. Ia perlu dilakukan dengan segera kerana kita tidak mempunyai banyak masa, jadual perlawanan kita cukup padat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, ini bukan masa yang sesuai untuk menuding jari mencari kesalahan pemain atau jurulatih tetapi ini adalah pengalaman pahit yang cukup berguna sebagai pengajaran dalam mengharungi baki saingan liga.
Jelasnya, beliau tidak menafikan kemenangan besar ketika mengatasi Felda United, Sabtu lalu membuatkan para pemainnya terlena seketika dan terlalu yakin tanpa menyedari kekuatan pasukan lawan.
“Rekod perlawanan di tempat lawan kita musim ini tidak begitu baik. Selepas menang perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor, rekod kita tidak bagus, hanya seri termasuk kalah kepada Pahang dan T-Team.
“Menentang Sabah di Kota Bharu Sabtu ini adalah masa yang terbaik untuk semua pemain membuktikan mereka adalah sebuah pasukan yang baik dan memulihkan semua semangat seluruh penyokong setia mereka,” ujarnya.
Katanya, semua pemain, pengurusan dan penyokong tidak perlu panik dengan situasi ini kerana Kelantan masih berpeluang untuk melakukan sesuatu ketika jadual perlawanan masih panjang selain perbezaan mata juga tidak begitu ketara.
Ketika ditanya mengenai situasi ‘bilik persalinan’ Kelantan ekoran beberapa spekulasi kononnya ada perselisihan antara pemain, Azman menjawab:
“Semuanya tenang, tidak ada apa yang berlaku. Spekulasi ini hanya bertujuan untuk merosakkan pasukan dan saya percaya seluruh pasukan berada dalam keadaan terbaik untuk terus memberi saingan dalam liga,” jelasnya. — KOSMO
Luahan Perasaan