Prestasi buruk: Presiden PBNS turun padang

Negeri Sembilan tewas 7 kali daripada 12 aksi Liga Super

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti masalah yang melanda skuad Hoben Jang Hoben yang kini menghuni kelompok bawahan Liga Super.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan mencari masalah yang melanda pasukan itu yang mencatatkan tujuh kekalahan dalam 12 perlawanan sebelum ini.

Katanya, prestasi buruk itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Negeri Sembilan dibarisi beberapa pemain kebangsaan dan berpengalaman.

“Saya pun tidak tahu apa sebabnya, kita telah melakukan beberapa perubahan termasuk menukar jurulatih, namun masalah ini belum dapat diselesaikan.

“Walaupun bermula dengan cemerlang ketika awal musim tetapi prestasi pasukan terus menjunam dan mencatatkan kekalahan demi kekalahan,” kata Mohamad dalam satu sidang media di Seremban semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pemain dan pihak pengurusan bagi mengenal pasti masalah yang melanda skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah itu.

“Saya akan berjumpa dengan beberapa pemain senior termasuk pemain junior dan saya hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Prestasi buruk sebegini tidak sepatutnya berterusan kerana di atas kertas kita mempunyai pemain berkaliber dan rekod yang cemerlang,” ujarnya.

Tambahnya, beliau tidak mahu lagi menuding jari kepada sesiapa dan akan mencari formula terbaik selepas bertemu dengan barisan pemain dan pihak pengurusan pasukan.

“Saya yakin kita mampu membaiki prestasi pasukan sekiaranya masalah ini dapat diatasi kerana kita mempunyai barisan pemain yang baik.

“Jadi, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Saya akan cuba untuk berjumpa dengan pemain dan kalau didapati ada masalah dalam pasukan, kita akan cuba selesaikan masalah dalaman ini,” tegasnya. — KOSMO

Related Posts

One Response to Prestasi buruk: Presiden PBNS turun padang

  1. N9 bermasalah kerana pertahanan yang kerap bocor. musim2 sebelum ini, gandingan aidil-shukor sangat berkesan. Shukor yang tinggi sentiasa cover bola tinggi, cross dsb. Aidil yang rendah tetapi pantas cover bola through, dan jika ada pemain yang berjaya memintas.

    masalah musim ini adalah disebabkan aidil yang telah bertambah gemuk. Aidil yang sedia pendek, menjadi lebih lembap, menyebabkan sukar untuk mengejar bola. Shukor yang dah semakin berusia memang tidak boleh diminta menjaga bola through.

    kesimpulan: Minta Aidil diet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>