Kelantan sekat penguasaan Selangor

KELANTAN membuka tirai bola sepak Liga Super musim 2011 dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ini merupakan hadiah buat jurulatih baru, Datuk M Karathu yang baru beberapa hari melatih skuad The Red Warriors apabila jurulatih sebelumnya, B Sathianathan digantung enam bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kelantan bermula garang seawal minit pertama dengan asakan merbahaya ke gawang tuan rumah apabila diberi sepakan percuma namun tidak menepati sasaran pintu gawang.

Anak buah M Karathu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton selepas diberi sepakan penalti apabila pemain Selangor, Razman Roslan dilayangkan kad kuning pertama kerana mengasari pemain Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya pada seawal minit ke-7.

Pemain terbaik musim lepas, Norshahrul Idlan Talaha yang mengambil sepakan penalti mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan namun buntu mencari jaringan.

Perlawanan separuh masa kedua sedikit terencat apabila pengadil perlawanan Yusuf Karim terpaksa memberhentikan perlawanan kira-kira lima minit apabila kedua-dua penyokong membaling objek dan mercun ke dalam padang.

Sejurus perlawanan bersambung pasukan The Red Warriors sekali lagi membolosi gawang gol Selangor apabila sepakan percuma yang diambil oleh Mohd Badhri Md Radzi tepat ke sasaran pada minit ke-82.

Tersentak daripada jaringan itu, Selangor mula bangkit pada saat akhir mengasak benteng pertahanan Kelantan namun kemenangan tetap berpihak kepada Kelantan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat muncul sebagai pemain terbaik perlawanan Piala Sumbangsih.

Perlawanan Sumbangsih itu turut disaksikan dua Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>