Peter Butler bakal dipecat?
KAFA buntu, Butler menghilang
URA-URA bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) Bojan Hodak akan menggantikan Peter James Butler sebagai ketua jurulatih Kelantan bukan lagi ‘omong kosong’ kerana ia sudah menjadi kenyataan.
Menurut sumber, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) buntu untuk menyelesaikan masalah Butler yang menghilangkan diri selepas direhatkan.
Katanya, memang sudah sah Hodak dilantik sebagai pengendali terbaru pasukan Kelantan untuk meneruskan perjuangan Red Warriors.
Menguatkan lagi kenyataan itu, Hodak muncul pada perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Singapura (SAFFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin dan duduk di sebelah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.
Hodak dilihat seperti merencanakan sesuatu sebelum bergelar jurulatih kepada pasukan Kelantan.
Sebelum ini, isu mengenai Butler hangat diperkatakan selepas beliau meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemilihan pemain import.
Butler mendakwa tidak tahu menahu mengenai pemain import baru Kelantan, Nwoha Onyekachi yang diturunkan dalam perlawanan Liga Super ketika menentang Selangor, selain menyatakan tidak tahu apa fungsinya sebagai jurulatih ketika bersama Kelantan.
Bagaimanapun, isu tidak sehaluan itu dianggap selesai apabila Butler membuat perjumpaan dengan Azman pada 17 Februari lalu dan memilih untuk memberi perhatian membimbing pasukan.
Tidak lama selepas itu, Butler tiba-tiba direhatkan, sedangkan skuad Kijang baru saja menewaskan Sarawak untuk layak ke pusingan kedua dalam saingan Piala FA. Tempat Butler digantikan penolong jurulatih, Sidek Samsuddin.
Butler kemudian didakwa menghilangkan diri membuatkan isu mengenainya bertambah ‘kalut’. — HM
KAFA rehatkan Butler ‘lantang’
KOTA BHARU - Pengendali The Red Warriors, Peter Butler menjadi jurulatih pertama yang menerima nasib malang dalam kancah Liga Malaysia musim ini apabila direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan drastik itu diambil setelah Butler sebelum ini dilihat lantang mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati kepada pihak media mengenai campur tangan pihak pengurusan terutamanya dalam menentukan kedudukan pemain import Kelantan sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, keputusan merehatkan Butler diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu, namun baru di kuat kuasa semalam memandangkan pihaknya tidak mahu pasukan hilang fokus ketika saingan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak, minggu lalu.
“Kita tidak menggantung Butler tetapi hanya merehatkan sahaja sehingga dia tampil memberikan penjelasan mengenai ketidakpuashatiannya mengenai pelbagai perkara berbangkit terhadap pihak pengurusan sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama katanya, Kafa beranggapan Butler tidak boleh melatih pasukan selagi jurulatih itu sedang menghadapi masalah ini.
Namun, pihak pengurusan memberi peluang kepada Butler untuk tampil memberi penjelasan dan Kafa katanya sedia berbincang secara terperinci
mengenai masalah dihadapi jurulatih itu.“Butler masih Ketua Jurulatih Kelantan dan kita tidak menetapkan tempoh masa tertentu mengenai keputusan merehatkannya. Tugas melatih pasukan kini diuruskan kepada dua penolongnya, Zahasmi Ismail dan Sideek Samsuddin,” katanya.
Menurut Azman, soal mencari pengganti Butler tidak timbul sama sekali memandangkan pihaknya tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan baru-baru ini.
“Pemain Kelantan kembali menjalani latihan bermula hari ini (semalam) dan ia tetap berjalan seperti biasa meskipun tanpa kelibat Butler di atas padang,” katanya. — Sinar Harian
Luahan Perasaan