Perlis mohon dana RM3 juta

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) mendesak Kerajaan Negeri menyalurkan dana sebanyak RM3 juta setahun untuk kegunaan skuad negeri itu dan kelab gabungannya.

Perkara tersebut diusulkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PFA Ke-19 kelmarin, yang menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim kekal sebagai Presiden PFA, apabila menang tanpa bertanding.

Ahli Jawatankuasa PFA yang juga penolong pengurus skuad Perlis, Hamunir Hamzah berkata, desakan tersebut dibuat agar Kerajaan Negeri memberi perhatian serius atas dasar semangat kesukanan, bukannya berbaur politik.

“Desakan ini adalah untuk pembangunan bola sepak dan kecemerlangan pasukan Perlis, seperti sedia maklum Kerajaan Negeri langsung tidak membantu PFA sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Seramai sembilan Ahli Majlis dan 38 daripada 48 perwakilan dari kelab-kelab sukan di Perlis serta 20 pemerhati termasuk wakil dari Brigate Gialloblu (Ultras Perlis) hadir pada mesyuarat tersebut di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.

Jelasnya, PFA telah diabaikan oleh Kerajaan Negeri dengan segala perbelanjaan termasuk penginapan dan pengangkutan skuad Liga Super negeri itu ditanggung oleh Shahidan sendiri serta sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi PFA, termasuk tunggakan gaji pemain yang memberi impak kepada prestasi pasukan.

“Siapa yang tidak mahu melihat Perlis kembali bangkit? Saya sendiri terpanggil mengetengahkan usul tersebut kerana sesebuah pasukan tidak dapat meneruskan kecemerlangannya jika berdepan masalah kewangan,” katanya.

Perlis berada di tangga tercorot Liga Super dan masih gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Singa Utara hanya memungut dua mata hasil dua keputusan seri menentang Harimau Muda A dan Kuala Lumpur.

Hamunir berkata, sukan dan politik tidak boleh dicampur aduk, sukan adalah sukan manakala politik adalah politik.

Jelasnya, adalah tidak adil jika PFA hanya bergantung harap kepada sumber kewangan individu sahaja.

“Singa Utara adalah sebuah pasukan yang tidak perlu diperkenalkan, namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, prestasi pasukan semakan merudum disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Perlis kehilangan beberapa pemain utama termasuk pemain kebangsaan Amar Rohidan, Farizal Marlis dan Ahmad Fakri Saarani yang mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ kerana tidak tahan dengan masalah tunggakan gaji.

“Selain usul mengenai desakan terhadap Kerajaan Negeri, PFA juga menimbang cadangan untuk menurunkan harga tiket bagi menarik penonton ke stadium pada setiap perlawanan Liga Super.

“Perkara itu akan dibawa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar menimbang cadangan tersebut,” katanya. -Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>