PBSNT vs FAM: Usah rosakkan bola sepak Malaysia

Datuk Hamidin Mohd AminSUKAN pun nampaknya sudah macam gelanggang politik.Semangat kesukanan sudah tidak begitu diamalkan.Kadang-kadang, budi bicara boleh diguna pakai untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan dan bukan terus-terusan ‘berbalas serangan’.

Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersilap kenyataan dalam surat pekeliling kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengenai status pemain import, ia perlu diselesaikan dengan cara yang berhemah.

Tidak perlu rasanya untuk mempertahankan siapa yang betul dan siapa pula yang silap.

Mungkin atas semangat kesukanan, tidak salah kiranya FAM dan PBSNT menggunakan budi bicara untuk membenarkan Terengganu meneruskan saingan Liga Super dengan pemain import yang telah mereka daftarkan.

Bagi pihak Terengganu pula, mereka seharusnya rasa bangga kerana bersaing dalam liga menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan dan ia harus dicontohi.

Jika kos untuk mendapat pemain import menjadi isu, ia mungkin boleh dibincangkan secara baik dengan FAM.

Baru di awal saingan, kontroversi sudah menyelubungi kancah bola sepak negara.

Ancaman saman mula disuarakan Terengganu kerana mereka rasa terpedaya dengan surat pekeliling yang dihantar oleh FAM pada 23 Disember lalu.

Ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang mengancam untuk menarik diri daripada saingan liga, FAM pantas memberi respons.

“FAM mengambil berat mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin menjelaskan pihaknya juga harus berjaga-jaga dengan kenyataan tersebut yang dilihat agak ‘pedas’.

Begitupun, beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana menurutnya, FAM telah menjelaskan kekeliruan mengenai surat pekeliling itu sebelum ini.

“Kami sudah pun menjelaskan apa yang terkandung di dalam surat pekeliling bertarikh 23 Disember itu. Buat masa ini, itu sahaja yang saya boleh katakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, Ahmad menyuarakan nada kesal dan tidak berpuas hati dengan badan induk bola sepak negara itu selepas kekeliruan yang timbul pada surat pekeliling bertarikh 23 Disember itu.

Dalam surat berkenaan, FAM menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari.

Begitu pun, PBSNT menanggung ‘derita’ selepas FAM menjelaskan pemain import skuad Penyu itu tidak dibenarkan beraksi di Liga Super sebaliknya hanya layak untuk bermain pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sahaja.

Lantaran dengan kekeliruan tersebut, Ahmad dengan nada keras, mengemukakan tiga pilihan kepada FAM dengan dua daripada itu adalah meminta bayaran ganti rugi atau membenarkan dua pemain import itu beraksi bersama Terengganu dalam Liga Super.

Namun, pilihan ketiga Ahmad nyata memeranjatkan pemerhati sukan bola sepak negara apabila Menteri Besar itu mengancam akan menarik penyertaan Terengganu dan T-Team yang beraksi di Liga M.

Sebelum ini, kontroversi membabitkan FAM dan PBSNT bermula apabila Terengganu menandatangani dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan FAM kepada negeri pantai timur itu.

Sehari kemudian, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad telah memohon maaf ekoran kesilapan teknikal, namun tetap bertegas dua pemain import Terengganu itu tidak boleh beraksi dalam Liga M.

Isu semakin panas apabila Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Hamidin kemudian tampil meminta Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh meminta maaf kepadanya atas beberapa kenyataan pedas yang dikeluarkan bekas Naib Presiden FAM itu.

Yang peliknya, FAM sudah jelaskan segala kekeliruan yang timbul namun, isu tersebut terus berpanjangan sehingga membabitkan campur tangan Menteri Besar Terengganu.

Apa pun, jalan terbaik untuk menjernihkan kekeliruan ini ialah kedua-dua pihak perlu menggunakan budi bicara agar sukan bola sepak negara terus menikmati keharmonian. — Kosmo

Related Posts

7 Responses to PBSNT vs FAM: Usah rosakkan bola sepak Malaysia

  1. pengurusan PBSNT adalah contoh tipikal orng melayu yang suka melakukan kerja di saat akhir apabila timbul masalah lalu menyalahkan pihak lain.apa salahnya mencari pemain import sebelum musih habis.

    • kerja di saat akhir…apa kesilapan pun tak boleh di perbaiki,begitu juga dgn hal lain2. kalau buat2 awal2 kan senang,kalau silap boleh perbaiki lg,jangan sampai deathline.

    • amendenye last minute? mu faham x masalah sbnarnye? jgn men tduh je gtu, mula2 PBSNT dah daftar 2 pemain import lain sblum dateline. Lepas dapat surat pekeliling FAM tu leh sampai bulan januari, PBSNT cari pemain import lain

  2. mat, dah fam bagi tahu boleh daftar import sebelum 9 jan..tolong cerita sikit status dayoub ni..ape citer ni midin?

    http://suarasukan1mas.blogspot.com/2012/01/ghaddar-lepas-ramez-sangkut.html

  3. itik_gembo_gembo

    Selesaikan dengan cara elok. Jangan huru-harakan kancah bolasepak tempatan. FAM janganlah memerintah cara kuku besi. PBSNT pun janganlah tunggu last2 minit baru gelabah.

  4. Pingback: Surat buat FAM dan kawasan sekitarnya | Blog | LelakiGhairah.com

  5. kawe tau dah fam meme la

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>