Nwoha tidak disenangi penyokong Kelantan

Nwoha ‘Ibarat penumpang dalam pasukan’.

Begitulah aksi tempang yang dipamerkan oleh pemain import dari Nigeria, Nwoha Onyekachi sepanjang beraksi selama 83 minit bersama The Red Warriors ketika mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama kempen Piala FA Sabtu lepas.

Raut wajah pengendali The Red Warriors, Peter Butler seakan berkerut memikirkan sumbangan pemain import terbaru Kelantan itu dan beliau memilih untuk memberikan jawapan berlapik ketika ditanya pemberita sejurus perlawanan tersebut berakhir.

“Anda kecewa dengan Nwoha? Itu saya tidak mahu komen mengenainya. Semua peminat di stadium dan di mana-mana boleh menilai sendiri malam ini. Saya ada pandangan sendiri tetapi saya tidak boleh beritahu anda. Lebih baik saya fokus kepada pasukan.

“Semua pemain bekerja keras dalam perlawanan ini tetapi saya lihat Nwoha belum cergas sepenuhnya. Namun saya mesti berlaku adil dan memberikan masa kepada dia. Mungkin esok saya akan buat penilaian.

Jurulatih berusia 46 tahun itu bagaimanapun tidak dapat lari daripada membuat perbandingan apabila secara jujur mengakui kelibat penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar merupakan pemain import terbaik dimiliki Kelantan setakat ini.

“Ghaddar pemain import terbaik. Saya selalu cakap dia ada banyak perlawanan di sini. Mungkin 10 perlawanan tetapi dia hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti sahaja.

“Tetapi saya perlu realistik dalam perkara ini kerana saya tidak sukakan penalti. Dia tidak bernasib baik hanya kerana gagal menjaringkan gol padang sepanjang 10 perlawanan lalu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Butler turut menjelaskan pertemuan beliau dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berlangsung dalam suasana yang mesra pada Jumaat lalu.

“Tidak ada apa-apa perbincangan. Kita hanya duduk dan makan-makan sahaja. Ramai orang mencetuskan spekulasi tetapi saya masih kekal di sini. Tugas saya ialah membentuk Kelantan menjadi sebuah pasukan yang kuat tetapi kalau orang tidak suka, saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya. — Kelate.net

“KAFA mesti utama pemain tempatan”

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, KAFA tidak perlu mengharapkan khidmat pemain import jika prestasi pemain tempatan lebih hebat.

Disebalik dilema dihadapi KAFA untuk mencari pemain import berkualiti, penyokong The Red Warriors pula meminta KAFA supaya tidak terdesak menggunakan pemain import berikutan pemain tempatan lebih mampu menggalas tanggungjawab untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Sambil tidak menafikan tindakan KAFA mencari pemain import adalah satu usaha yang baik, beliau berkata, jika berterusan dilanda dilema, masalah itu mungkin menjejaskan pasukan berikutan pemain perlu menyesuaikan diri dengan setiap import yang diambil.

“Kehadiran pemain import sepatutnya memantapkan lagi pasukan tapi perkara sebaliknya berlaku dan ini mengecewakan penyokong, malah pemain tempatan nampaknya lebih hebat,” katanya.

Sementara itu Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata pengurusan KAFA dan jurulatih akan menilai kembali prestasi Nwoha sementara menunggu kepulangan Ghaddar dan sesi pertukaran pemain import April ini.

“Ghaddar pulang ke Lubnan untuk melawat ayahnya yang sakit dan akan kembali bersama Kelantan untuk saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC),” katanya.

Related Posts

2 Responses to Nwoha tidak disenangi penyokong Kelantan

  1. kita gelak nwohahahaha jela…

  2. susah2 sgt guna je la yg mana ada. xusah pening kepala. kalu rasa xperform, rehatkan dulu atau jdkn sub shj. kdg2 main bola ni lmbt panas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>