Negeri Sembilan buru kejuaraan sulung Piala Sumbangsih
- Piala Sumbangsih 2012
- Kelantan vs Negeri Sembilan
- Stadium Nasional Bukit Jalil
- 7 Januari 2012, LIVE TV1 / Astro Arena 8.45 mlm
NEGERI Sembilan mengintai trofi sulung Piala Sumbangsih dengan pasukan baru yang dibarisi pemain-pemain muda.
Menurut jurulatih Jang, Azraai Khor Abdullah, “Memandangkan format Piala Sumbangsih agak aneh, tidak memberi sebarang mata. Negeri Sembilan tidak pernah merasa (mengecapi trofi) dan sebolehnya nak membawanya balik.
Memandangkan kehilangan enam tonggak senior musim lalu, namun Azraai melaungkan keyakinan terhadap para pemainnya serta pemain import dari Ghana, Jean-Emmanuel Effa Owona antara sandaran utama musim ini.
Penyudahnya semakin tajam apabila baru-baru ini, dia telah meledakkan hatrik ketika menguji pasukan Harimau Muda B.
Namun Azraai tidak menolak bahawa seteru mereka, Kelantan memiliki kelebihan tersendiri kerana bakal turun dengan dua pemain import tetapi beliau tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan utama.
“Negeri Sembilan banyak dibarisi pemain muda selepas sebilangan pemain senior meninggalkan pasukan musim ini.
“Kami mengambil pemain muda yang kurang ternama tapi boleh menyumbang kepada pasukan.
“Ini boleh dikatakan strategi serampang dua mata.
“Selain bakat mereka boleh digilap dan memberi sumbangan,” jelasnya mengenai persiapan skuad Hobin Jang Hobin musim ini berbanding musim lalu yang menyaksikan mereka berbelanja besar.
“Musim lalu, saya mengambil-alih pasukan ini dengan pasukan yang sedia ada dan berdepan dengan masalah kecederaan.
“Mereka ini mungkin tidak secemerlang pemain senior dan bintang.
“Seperti yang saya lakukan di Kedah, pemain muda ini boleh menunjukkan banyak peningkatan dan dahagakan kejayaan apatah lagi mereka mempunyai sikap untuk belajar,” tambahnya.
Azraai sedar Kelantan antara pasukan yang membuat persiapan lebih awal selain melihat kepulangan ‘tiga Abdul’; Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose dan Norfarhan Mohamad mampu meningkatkan tahap pencabar mereka kepada 30 peratus.
“Mereka pemain senior. Mereka boleh membuat kejutan dan menjadi kuasa utama Liga Malaysia musim ini.”
Norhafiz Zamani bakal turun selaku kapten pasukan pada malam esok dan Azraai mengesahkan seperti musim 2011, peranan kapten akan ditugaskan bergilir-gilir di antara Zamani dan Shukor Adan.
“Sudah pasti kami mahu memulakan musim baru dengan kemenangan dan akan berdepan Kelantan yang merupakan pasukan yang baik.
“Pemain akan cuba memberikan komitmen dan mengikut percaturan taktikal jurulatih serta bermain sebagai satu pasukan,” katanya yang tidak gentar untuk berhadapan dengan lautan merah esok kerana sudah merasainya dalam tiga final terdahulu. — Arena.MY
Luahan Perasaan