TIGA gol Kuala Lumpur dalam tempoh empat minit ketika menewaskan T-Team kelmarin, nyata mengejutkan banyak pihak termasuk ketua jurulatihnya, Razip Ismail.
Selepas sukar menggegar gawang lawan sebelum ini, kemenangan bergaya itu juga menandakan ‘badi’ yang membelenggu skuad warga kota sejak beberapa perlawanan lalu, tidak lagi mengekori mereka.
“Saya juga terkejut kerana anak buah mampu membolosi gawang lawan dalam tempoh singkat tetapi peluang jaringan pada awal permainan seperti itu tidak harus disia-siakan.
“Saya rasa ketiga-tiga gol itu hadir pada waktu tepat memandangkan pemain T-Team masih belum panas. Kemenangan itu adalah hasil usaha pemain sendiri,” katanya.
Razip berkata, dia kerap menasihatkan anak didiknya untuk kembali bangkit serta mengumpul mata penuh dalam setiap perlawanan dan kemenangan kelmarin, membuktikan barisan pemain mudanya mula mendapat prestasi yang diingini.
“Saya menasihati mereka supaya sentiasa bingkas kerana kami kerap sukar mencari gol dan kemenangan. Bagi saya, barisan pemain memberi tindak balas positif dalam perlawanan semalam (kelmarin),” katanya yang mahukan pemain mengekalkan prestasi itu pada perlawanan menentang FELDA United, malam esok.
Main topics: Liga Super
Sub topics: Kuala Lumpur, Liga Malaysia, Liga Super 2011