Jadual Liga Super: Hamidin sedia terima kecaman
Perubahan jadual Liga Super tidak dibuat sesuka hati seperti dakwaan peminat
KEKERAPAN perubahan dalam jadual Liga Malaysia musim ini yang mencetuskan kemarahan pasukan dan peminat tidak dapat dielakkan demi kepentingan skuad kebangsaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin.
“Saya tanggung dan sanggup terima kecaman di atas kekalutan jadual. Saya sedar ada pasukan yang marah dengan perubahan jadual secara tiba-tiba dan tempoh yang singkat antara perlawanan musim ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pemeriksaan padang dan mesyuarat perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Menurutnya, beberapa perubahan drastik terhadap jadual perlawanan terpaksa dilakukan demi kepentingan pasukan kebangsaan, baik skuad Olimpik mahupun Piala Dunia yang mempunyai misi penting tahun ini.
Selain kemasukan penaja baru Liga Malaysia, Astro yang menuntut perlawanan diadakan setiap Selasa dan Jumaat, JKPT juga terpaksa memenuhi kehendak jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee untuk menangguhkan tiga perlawanan bagi menyediakan pasukannya untuk perlawanan kelayakan pusingan kedua bertemu Lubnan, 19 dan 23 Jun ini.
JKPT juga membuat perubahan kecil pada lokasi dan waktu perlawanan dari masa ke masa berdasarkan kesediaan sesebuah gelanggang pertandingan yang memenuhi syarat ditetapkan seperti kualiti rumput dan lampu limpah untuk perlawanan sebelah malam.
“Memang banyak aspek yang perlu jawatankuasa ini fikirkan tetapi semuanya adalah demi kepentingan bola sepak negara yang kini mula menampakkan sinar menuju kegemilangan,” kata Hamidin.
“Saya yakin menjelang musim depan, liga akan kembali berjalan lancar, malah saya sudah menyediakan kertas kerja yang hanya menunggu masa untuk dibentangkan.”
Hamidin turut menasihatkan PKNS dan Sarawak supaya tidak kalut dengan spekulasi mengenai playoff kelayakan ke Liga Super kerana Exco FAM belum bersidang untuk memutuskan perkara itu.
“Seperti yang ditetapkan, ada promosi dan penyingkiran. Untuk juara, lazimnya akan dipromosi secara automatik. Sehubungan itu, saya meminta PKNS bersabar dalam hal ini,” katanya. — Berita Harian
Luahan Perasaan