Kelantan jarakkan tiga mata dengan Felda, Selangor

KELANTAN dipaksa bekerja keras sepanjang babak kedua perlawanan sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas barisan Harimau Muda A dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Dalam aksi tunggal perlawanan Liga Super yang berlangsung malam tadi, skuad bimbingan Ong Kim Swee sememangnya membuktikan kewajaran mereka untuk bergelar ‘pasukan kebangsaan’ apabila memberi tentangan sengit kepada The Red Warriors sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung.

Ancaman merbahaya pasukan Harimau Muda hadir seawal minit pertama perlawanan menerusi rembatan jarak dekat pemain tengah, A Thamil Arasu yang terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Enam minit kemudian, pasukan Harimau Muda terus memberi tekanan kepada Kelantan apabila mempunyai dua peluang terbaik menerusi percubaan Mohd Irfan Fazail yang diselamatkan Khairul Fahmi sementara rembatannya pada jarak 35 meter dua minit selepas itu sekali lagi dipatahkan Khairul Fahmi.

Namun, di sebalik serangan menggila pasukan Harimau Muda, Kelantan hanya memerlukan satu serangan balas pantas untuk memperolehi gol pertama. Pada m-11, hantaran silang Zairul Fitree Ishak dari tengah padang ditampan kemas Solehin Kanasian Abdullah yang membawa masuk bola ke dalam kotak penalti dan rembatannya tertampan pemain pertahanan, Mohd Affize Faizal Mamat sebelum bola bergolek masuk ke dalam gawang gol.

Seminit kemudian, Mohd Nurul Azwan Roya hampir menambah gol untuk Kelantan namun rembatan kencangnya dari jarak 30 meter singgah di palang pintu gol pasukan pelawat.

Tidak mudah berputus asa, Harimau Muda kembali menggandakan asakan dan hasilnya pada m-13, penyerang muda yang sedang meningkat naik, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria turut melakukan percubaan namun rembatannya mudah dibaca oleh Khairul Fahmi.

Pada m-24, kesilapan pemain pertahanan Harimau Muda, Mohd Amer Saidin yang gagal menampan kemas bola dihukum menerusi rembatan kencang S Chanturu yang menewaskan Muhammad Zamir Selamat untuk menghasilkan gol kedua Kelantan.

Minit-minit akhir babak pertama, Harimau Muda berjaya merapatkan jurang apabila memperolehi gol tunggal mereka dalam perlawanan malam tadi. Kesilapan Zairul Fitree yang lambat mengeluarkan bola pantas disambar Mohd Irfan menerusi sepakan kencangnya yang tepat menerjah jaring sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Percaturan taktikal jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang mengeluarkan pemain sayap, Mohd Nurul Azwan dan memasukkan Mohamad Ab Aziz Ismail pada pertengahan babak kedua hampir memakan diri apabila jentera tengah dilihat gagal berfungsi dengan baik setelah kehilangan khidmat Kapten, Muhd Badhri Radzi sebelum itu.

Pada m-64, penyerang Harimau Muda, Mohamad Fandi Othman mensia-siakan peluang terbaik apabila rembatan leretnya sekadar melintasi pintu gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi sudahpun tertewas daripada kedudukannya.

Lapan minit kemudian, Mohamad Fandi sekali lagi gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila tidak berupaya menolak masuk rembatan leret Mahalli Jasuli di depan pintu gol Kelantan.

Sementara itu, Kelantan yang kian tenggelam dalam asakan berterusan pasukan pelawat turut mempunyai peluang menerusi sepakan percuma Zairul Fitree pada m-75 yang menyaksikan Muhammad Zamir terpaksa menumbuk keluar bola daripada pintu golnya.

Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Express’, S Chanturu seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal menjarakkan kedudukan The Red Warriors apabila mensia-siakan dua peluang terbaik yang dimilikinya.

VIDEO: Kelantan vs Harimau Muda A | Peluang S Chanturu

Larian solonya pada m-82 berakhir dengan kekecewaan apabila rembatannya mudah dibaca Muhammad Zamir biarpun hanya berhadapan dengan penjaga gol Harimau Muda itu.

Sementara pada m-85, Chanturu sekali lagi menghampakan penyokong setia Kelantan apabila gagal menyepak tepat ke pintu gol setelah menerima umpanan cantik daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Malah, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan turut mempersiakan satu-satunya peluang terbaik yang dimiliki dalam perlawanan malam tadi apabila rembatannya sedikit melewati palang gol Harimau Muda pada m-89 perlawanan.

Penghujung perlawanan sememangnya menjadi milik pasukan pelawat namun rembatan pemain gantian, Wan Zack Haikal Wan Noor sedikit melewati palang sementara percubaan Mohamad Fandi pula menyaksikan hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan.




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)