Detik penentu Kelantan, Terengganu

HALA tuju pasukan mana yang berpeluang meraih kejuaraan liga musim ini sudah pasti tertumpu kepada aksi pertemuan di antara dua jiran tetangga, Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, pertemuan dua negeri berjiran itu mungkin menjadi bayangan kepada penentuan pasukan bergelar juara sekalipun pada masa yang sama saingan dari pasukan Selangor juga tidak harus diketepikan sama sekali.

“Semua orang bercakap ini satu perlawanan ‘top of the table clash’ dan saya harus bersetuju tentang perkara itu. Ianya mungkin satu perlawanan yang bakal memberi jawapan kepada pasukan mana yang berpeluang untuk muncul juara walaupun saingan liga masih berbaki dua perlawanan.

“Apa yang dapat saya katakan, pertemuan ini bakal menjanjikan satu persembahan yang menarik disajikan oleh kedua-dua pasukan. Untuk itu, kita harus mempunyai kekuatan mental selain semangat juang yang tinggi kerana kita perlu bermain di gelanggang lawan.

“Saya akui Terengganu sememangnya mempunyai ramai pemain berkualiti dan barisan penyerang mereka pun semakin menjadi. Kita harus menyekat kemaraan mereka dan kita juga harus mengamalkan corak permainan secara menyerang tanpa sesekali bermain secara bertahan,” katanya.

Menyedari kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk memburu kejuaraan, Karathu berkata, beliau telah merangka strategi tersendiri bagi mengekang percaturan taktikal Irfan Bakti Abu Salim yang dilihat semakin ghairah untuk memburu kejuaraan.

“Masing-masing sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap pasukan. Terengganu turun tanpa Mohamad Ashaari (Samsudin) manakala kita pula tanpa kelibat Khairul Fahmi (Che Mat) dan Zairul Fitree (Ishak).

“Saya pasti pengganti kedua-dua mereka ini mampu menggalas tugas dengan baik. Tidak ada masalah sekalipun tanpa khidmat mereka. Malah berita menggembirakan, dua pemain tonggak pertahanan iaitu Mohd Farisham (Ismail) dan S Subramaniam juga disahkan pulih daripada kecederaan.

“Bagi saya, setiap perlawanan yang dihadapi merupakan tekanan kepada kedua-dua pasukan. Namun saya percaya, sekiranya para pemain bermain mengikut arahan saya fikir tidak ada sebab bagi kita tidak boleh menang di Kuala Terengganu,” katanya.

Barisan kemungkinan Kelantan: Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Mohd Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>